Terjatuh Ketika Mendaki Gunung Rinjani, Pelancong Brazil Maut Selepas 3 Hari Terkandas
Mangsa dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pelancong warga Brazil, Juliana Marins, 26, dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam jurang sedalam 600 meter ketika mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia baru-baru ini
Insiden tragis itu mengejutkan ramai, memandangkan kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan pendaki tempatan dan antarabangsa.
Menerusi laporan Berita RTM, Kementerian Luar Brazil dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ketika mendaki gunung berapi popular itu.
"Kerajaan Brazil dengan dukacita mengumumkan kematian pelancong Brazil, Juliana Marins, yang terjatuh dari tebing berhampiran laluan kawah Gunung Rinjani," jelas kenyataan tersebut.

Mangsa dilaporkan tergelincir lalu terjatuh ke dalam lubang di lereng gunung
Dalam pada itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia, Mohammad Syafii berkata pasukannya berjaya menemukan mangsa namun hanya boleh memindahkan jasadnya pada pagi Rabu berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
"Salah seorang penyelamat berjaya sampai ke lokasi mangsa dan mengesahkan tiada tanda-tanda mangsa masih hidup. Tiga anggota penyelamat lagi turut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya.
Difahamkan, mangsa dipercayai tergelincir ketika mendaki dan terjatuh ke dalam lubang curam di lereng Gunung Rinjani, yang merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dengan ketinggian mencecah 3,726 meter dari paras laut.
Gunung Rinjani juga merupakan tarikan utama pelancong di Pulau Lombok yang terkenal dengan pantai dan kehijauan alam semula jadi.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 