PU Azman Aktif Ajar Agama Kepada Banduan & Jalani Hukuman Di Penjara Kajang
Alhamdulillah, baguslah mengisi masa lapang dengan ilmu agama.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
PU Azman yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, dilaporkan mengisi masa hariannya dengan memberi pengajaran agama kepada rakan-rakan banduan
Difahamkan, PU Azman, atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 44 tahun mengambil inisiatif itu bukan sahaja menjadi ruang untuk beliau memperbaiki diri.
Malah ia turut memberi manfaat rohani dan bimbingan kepada penghuni lain yang turut menjalani hukuman di penjara tersebut.

Keadaan baik di dalam penjara, kini sudah menghafaz empat juzuk Al-Quran
Perkembangan terkini penceramah selebriti itu dikongsikan peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad di Facebook yang sudah mendapat keizinan daripada PU Azman yang turut mesra dipanggil Cik Man.
Menurutnya, PU Azman berada dalam keadaan baik sepanjang berada di penjara dan dimaklumkan bahawa beliau kini telah berjaya menghafaz empat juzuk Al-Quran sebagai sebahagian daripada rutin hariannya.
"Untuk pengetahuan semua, beliau berada dalam jagaan yang baik dan setiap hari beliau mengajar banduan dalam penjara dan ada kalanya berkongsi ilmu dengan pegawai penjara," katanya.
Tambahnya lagi, setiap kali bertemu, PU Azman tidak pernah lupa untuk meminta dibawakan buku baharu sebagai bahan bacaan.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Sinar HarianNamun begitu, beliau turut mengakui bahawa hidup di sebalik tirai besi bukanlah sesuatu yang mudah atau menyeronokkan, walaupun diisi dengan rutin positif.
"Hanya beliau sahaja yang tahu apa yang beliau rasa. Namun setiap orang ada jalan dan ceritanya sendiri.
"Saya yakin apa yang terjadi pada sahabat saya adalah ujian yang terbaik di sisi Allah SWT," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi telah membenarkan rayuan PU Azman untuk menjalani hukuman penjara secara serentak selama 12 tahun, berbanding hukuman asal 24 tahun, atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki.
Bagaimanapun, hukuman dua sebatan yang dikenakan terhadapnya kekal seperti diputuskan, dan PU Azman telah mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 27 September 2024.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via