Polis Buru Kumpulan Pengayuh Basikal Halang Laluan Bas Di Kuala Selangor
Kes disiasat mengikut Peraturan 42 (3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara beriringan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis sedang mencari sekumpulan pengayuh basikal disyaki menghalang laluan bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, arah Sungai Buloh selepas lampu isyarat Batu Arang
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata pihaknya mengesan sebuah video yang tular berhubung kejadian itu pada jam 5 petang semalam.
Menurutnya, video terbabit memaparkan kejadian antara seorang pemandu bas dengan sekumpulan pengayuh basikal.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 9.35 pagi kelmarin ketika kumpulan terbabit menghala ke Sungai Buloh.
"Mereka dipercayai mengayuh dalam kelompok besar di sebelah kiri jalan dan menghalang laluan bas," katanya.

Polis menasihatkan orang ramai menghormati keselesaan pengguna jalan raya yang lain
Azaharudin berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan 42 (3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara beriringan.
"Polis juga menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan menghormati keselesaan pengguna lain," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 