Masalah Rabun Membimbangkan, KPM Disaran Buat Saringan Untuk Murid Tahun 1
Difahamkan, ramai kanak-kanak sekolah rendah didapati mempunyai masalah rabun sementara, rabun warna dan juling.
Cover image via Dr Zaliha Mustafa (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Pendidikan (KPM) dicadang jadikan saringan kesihatan mata sebagai komponen tetap dalam sesi orientasi Murid Tahun 1
Menerusi laporan Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata terdapat keperluan berbuat demikian selepas mendapati 55 peratus daripada 2,008 murid Tahun 1 yang membuat saringan bawah Program Mata Hati Wilayah pada tahun lalu mengalami masalah kesihatan mata.
Daripada jumlah itu, 88 peratus daripada mereka mempunyai masalah rabun sementara, empat peratus rabun warna dan lapan peratus mengalami masalah juling.
"Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui program Amblyopia and Visual Impairment Screening atau AVIS pada tahun 2023 mendapati hampir 30 peratus daripada kanak-kanak pra sekolah di Malaysia mengalami masalah penglihatan.
"Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah, mereka tidak sedar akan perkara berkenaan. Kesannya, jika mengikut laporan World Report on Vision yang dikeluarkan oleh WHO, kanak-kanak ini mungkin mempunyai tahap pencapaian akademik dan tahap keyakinan diri yang lebih rendah berbanding rakan sebaya mereka yang mempunyai penglihatan normal.
"Gangguan penglihatan ini juga mungkin boleh menyebabkan kelewatan anak-anak ini dalam perkembangan motor, kognitif dan bahasa yang berkemungkinan berkekalan sepanjang hayat," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa merasmikan program Mati Hati Wilayah semalam.
Image via FacebookBoleh jejaskan produktiviti masa hadapan negara
Zaliha berkata jika tidak dibendung masalah kesihatan mata itu ia akan menjejaskan produktiviti negara pada masa hadapan.
"Kita lihat sangat jelas mengenai korelasi di antara kanak-kanak yang rabun mata ini, dengan perkembangan diri mereka yang akan beri kesan jangka panjang pada negara.
"Sehubungan itu, peranan kita di sini perlu untuk memastikan kanak-kanak ini dibantu sebaik mungkin supaya mereka tidak tercicir dari pendidikan dan lebih percaya diri untuk bergerak maju ke hadapan," katanya.
Mengulas mengenai program Program Mata Hati Wilayah, Zaliha berkata ia dianjurkan sebagai salah satu usaha intervensi sosial yang berasaskan data dan impak yang boleh mengubah trajektori hidup seorang murid.
"Ini adalah inisiatif atau program integransi sosial yang kita jalankan kerana mendapati bahawa anak-anak khususnya dalam kalangan B40 mempunyai masalah kerabunan sekali gus menjejaskan prestasi mereka ketika di sekolah.
"Jadi menerusi program yang kita laksanakan jni, sebanyak 92 peratus daripada mereka yang menerima bantuan cermin mata melalui program ini menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam aspek komunikasi dan pergaulan sesama murid, serta menunjukkan kecenderungan positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
"Ini adalah satu pencapaian yang wajar kita berikan perhatian yang serius," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



