Ejen Ali The Movie 2 Kini Ditayangkan Di 240 Pawagam Indonesia – “Dapat Sambutan Hangat Peminat”
Dalam tempoh lima hari tayangan, filem animasi tempatan itu menarik lebih 174,000 penonton merentasi pelbagai lapisan umur terutama kanak-kanak.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus meraih sambutan hangat di Indonesia apabila jumlah pawagam yang menayangkannya meningkat kepada 240 premis, berbanding hanya 70 pawagam ketika mula ditayangkan pada 27 Jun di sana
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation merangkap pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin, berkata pihaknya tidak menyangka sambutan luar biasa itu berikutan pasaran Indonesia tidak mempunyai sistem 'Wajib Tayang' seperti di Malaysia.
"Kami masuk pada waktu yang sangat sesuai, iaitu musim cuti sekolah di sana, disokong pula kerjasama erat dengan pengedar, agensi komunikasi serta rakan produksi tempatan yang memahami pasaran mereka.
"Kami juga sedar sejak awal bahawa untuk berjaya di Indonesia, strategi kemasukan perlu dirancang dengan teliti. Justeru, kami manfaatkan sepenuhnya kandungan digital Ejen Ali yang lama bertapak di sana, selain menjalinkan kerjasama tempatan yang mengukuhkan lagi penerimaan penonton," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation merangkap pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin.
Image via Primeworks StudioSambutan luar biasa di YouTube dan media sosial oleh peminat dari Indonesia jadi antara faktor kejayaan
Menurut Usamah, kewujudan peminat setia Ejen Ali di Indonesia menerusi platform digital seperti YouTube dan media sosial turut menyumbang kepada kejayaan itu.
"Daripada data yang kami kumpul sejak beberapa tahun lalu, sudah wujud kelompok penonton setia dari Indonesia yang mengikuti siri animasi Ejen Ali. Jadi, apabila filem ini diumumkan, ramai yang sudah tahu dan menantinya.
"Kami juga menjalinkan kolaborasi dengan studio animasi Indonesia untuk menghasilkan sebahagian babak, selain bekerjasama dengan kumpulan muzik Nidji dari negara itu dalam pembikinan runut bunyi. Elemen ini mencetuskan rasa keterikatan dalam kalangan penonton tempatan," katanya.

Filem sekuel animasi popular terbitan WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) itu setakat ini mencatat kutipan hampir RM60 juta.
Image via Ejen Ali (Facebook)Dijangka akan ditayangkan di beberapa negara yang lain
Selepas kejayaan di Indonesia, filem EATM2 dijangka akan ditayangkan di beberapa negara lain termasuk Kemboja, selain mendapat sambutan menggalakkan di Singapura dan Brunei, baru-baru ini.
Mengulas cabaran menembusi pasaran luar, Usamah berkata, pemilihan rakan strategik yang tepat amat penting dan kali ini, mereka menerima sokongan yang lebih kukuh berbanding tayangan filem pertama sebelum ini.
"Dahulu skala tayangan kecil dan kerjasama tidak begitu kuat. Tapi kali ini, Media Prima Berhad (MPB) dan rakan-rakan di Indonesia banyak membantu dari segi promosi dan pengedaran. Kami juga membabitkan agensi komunikasi yang memahami cara kerja media dan cita rasa penonton di sana.
"Ini sangat membantu meningkatkan keterlihatan dan kehadiran filem kami di pawagam Indonesia," katanya.
Usamah berharap kejayaan EATM2 membuka lebih banyak peluang kepada penerbit tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus memperkukuh industri kreatif Malaysia berikutan negara ini mempunyai ramai bakat hebat dalam pelbagai bidang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



