Jabatan Bedah Saraf HSNZ Cipta Sejarah Jalankan Pembedahan Otak Pesakit Dalam Keadaan Sedar
Difahamkan, Jabatan Bedah Saraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) melakukan pembedahan itu pada Khamis lalu.
Cover image via Neurosurgery HSNZ Official (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jabatan Bedah Saraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencipta sejarah selepas berjaya melaksanakan pembedahan otak dalam keadaan pesakit sedar
Menerusi laporan Berita Harian, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata pesakit wanita berusia 33 tahun itu dimasukkan ke wad selepas mengalami sawan fokal, kelemahan otot muka dan gangguan pertuturan.
"Hasil imbasan MRI ke atas pesakit mendapati terdapat kehadiran tumor pada lobus frontal kiri yang terletak berhampiran kawasan kritikal mengawal pertuturan," katanya.
Bagi mengelakkan risiko kecacatan neurologi, pendekatan kraniotomi atau prosedur pembedahan melibatkan pembuatan lubang pada tulang tengkorak untuk mengakses otak secara sedar dipilih agar pemantauan pertuturan dan fungsi motor dapat dibuat secara langsung sepanjang pembedahan.

Mengambil masa satu setengah jam menjalankan prosedur itu
Difahamkan, pegawai dan pasukan perubatan Jabatan Bedah Saraf mengambil masa kira-kira satu setengah jam untuk melakukan pembedahan dalam keadaan pesakit sedar selepas sesi persediaan dan latihan praoperasi dilakukan bersama pesakit sebelum prosedur dilakukan.
"Pesakit diberi bius setempat dan ubat penenang sebelum dibawa ke fasa sedar untuk penilaian fungsi neurologi oleh pasukan neurologi dan psikiatri sepanjang pembedahan dilakukan.
"Proses pembedahan termasuk mengeluarkan tumor berjaya dikeluarkan dengan teliti oleh pakar bedah saraf.
"Ia menggunakan mikroskop dan teknologi pembedahan berpandukan imej (IGS). Prosedur berjalan lancar tanpa komplikasi dan pesakit dibenarkan pulang pada Sabtu, iaitu dua hari selepas menjalani pembedahan," katanya.
Dr Kasemani berkata, pesakit berada dalam keadaan bebas sawan dan tidak mengalami sebarang defisit neurologi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



