Seramai 222 Pelajar IPT Disahkan Positif HIV Untuk Tahun Lepas – Kementerian Kesihatan Malaysia
KKM terus mempergiatkan aktiviti pengesanan dalam komuniti, khususnya dalam kalangan populasi berisiko.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seramai 1,091 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah direkodkan menghidap jangkitan HIV bagi tempoh antara tahun 2020 hingga 2024
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 222 kes baharu dilaporkan sepanjang tahun lalu sahaja, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap trend peningkatan jangkitan dalam kalangan golongan muda di institusi pendidikan.
Menerusi laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memberitahu lebih membimbangkan, majoriti kes membabitkan remaja usia 18 dan 19 tahun
Ia sekali gus menunjukkan pendedahan awal terhadap aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum dan penyalahgunaan bahan terlarang.

Kes banyak berlaku dalam kalangan pelajar IPT
Beliau menyatakan bahawa peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar IPT merupakan isyarat jelas perlunya langkah intervensi yang lebih tegas dan menyeluruh.
Antaranya termasuk mempertimbangkan pendekatan pengurangan kemudaratan ('harm reduction') yang lebih sesuai dan relevan untuk golongan belia, agar pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dalam konteks semasa.
"Antara langkah awal yang diperkenalkan ialah penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang merupakan alat pencegahan HIV dan kajian menunjukkan bahawa PrEP boleh mengurangkan risiko jangkitan apabila diambil secara konsisten," katanya.
Lukanisman berkata beliau mengakui KKM berdepan cabaran besar untuk menyediakan akses ujian saringan kendiri kepada remaja di bawah umur.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Image via Berita Harian"Apa yang menjadi satu permasalahan ketika ini adalah akses kepada ujian kendiri bagi remaja-remaja di bawah umur, di mana kita tidak mempunyai satu perundangan khusus.
"Kita memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian kendiri dan juga kebenaran untuk mendapatkan rawatan. Ini agak menyukarkan remaja-remaja yang ingin tampil ke hadapan," katanya.
Sementara itu, Ketua Sektor HIV/STI/HeP C, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Fazidah Yuswan memaklumkan bahawa sebanyak 36% atau kira-kira 29,941 individu yang hidup dengan HIV masih belum dikesan setakat ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) terus mempergiat usaha pengesanan awal di peringkat komuniti, terutamanya dalam kalangan populasi berisiko tinggi, bagi mengenal pasti lebih ramai individu yang mungkin hidup dengan HIV tetapi belum disahkan secara rasmi.
"Sebagai antara pendekatan mesra komuniti, kaedah ujian kendiri HIV (HIV self-test) turut diperkenalkan untuk memberi pilihan kepada individu yang masih berasa takut atau enggan tampil ke fasiliti.
"Mereka boleh mendapatkan kit ujian kendiri HIV melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Aids Malaysia atau farmasi komuniti.
"Dalam kit itu, disertakan panduan di mana mereka akan diminta untuk membuat penilaian risiko dan langkah susulan untuk memastikan mereka tidak dijangkiti HIV atau menjangkiti orang lain," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


