Pengguna Lebuh Raya PLUS Kini Boleh Solat Jumaat Di Surau R&R Seremban Arah Selatan
Pengguna lebuh raya menuju ke arah selatan juga kini boleh singgah untuk solat Jumaat.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Surau MADANI di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan, mencatat sejarah apabila mendapat kebenaran untuk mengadakan solat Jumaat
Perkara itu selepas menerima kelulusan rasmi daripada Mufti Negeri Sembilan.
Surau ini menjadi yang pertama di kawasan R&R lebuh raya seluruh negara yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia satu pencapaian yang dinanti sejak sekian lama.
Surau lelaki berkenaan mampu menampung sehingga 150 jemaah dalam satu-satu masa, menjadikannya kemudahan penting untuk para musafir yang berhenti rehat di lokasi tersebut.

Pelaksanaan solat Jumaat di R&R Seremban bagi memudahkan mereka yang berjalan jauh
Menerusi laporan Berita Harian, pengisytiharan kelulusan mendirikan solat Jumaat itu disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu majlis semalam.
Beliau berkata selain pekerja di kawasan R&R berkenaan, pengguna lebuh raya menuju ke arah selatan juga kini boleh singgah di situ menggunakan kemudahan di sediakan termasuk bersolat Jumaat.
"Sebelum beri kebenaran ini, saya secara peribadi bertanya kepada pekerja di sini, merisik untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku di kawasan ini tanpa memperkenalkan diri.
"Saya tanya di mana mereka bersolat jumaat. Antara jawapan diberikan adalah sebahagian mereka tidak pergi solat Jumaat kerana tidak sempat, sebab jauh untuk pergi dan balik," katanya.

Dr Faudzinaim hari ini mengisytiharkan Surau MADANI di kawasan R&R Seremban arah selatan
Image via NSTP/Ahmad HasbiMengulas lanjut mengenai keperluan mendirikan solat Jumaat di surau R&R Seremban, Faudzinaim menjelaskan bahawa ia merupakan kewajipan bagi para pekerja beragama Islam yang bertugas di kawasan tersebut.
"Kita lihat ada keperluan, ada hajat yang perlu dipenuhi bagi golongan pekerja di sini. Oleh kerana itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berasakan ada keperluan memberikan solat jumaat secara sementara di kawasan ini," katanya.
Faudzinaim berkata dalam masa sama dengan adanya kemudahan itu kelak, ia akan mendekatkan umat Islam dengan Allah walaupun sedang berjalan-jalan, bercuti atau bekerja.
"Ini adalah kebenaran solat Jumaat pertama di kawasan R&R. Kita mengharapkan dengan kebenaran ini, ia akan memberi keselesaan kepada umat Islam yang sentiasa berada atas lebuh raya," katanya.

Sementara itu, turut hadir Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi yang berkata terdapat kira-kira 90 pekerja lelaki beragama Islam di R&R Seremban ketika ini.
Menurutnya, tujuan utama pelaksanaan solat Jumaat di R&R Seremban adalah bagi menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti tetap yang bekerja di kawasan itu, selain turut memberi manfaat kepada penduduk sekitar Labu dan Seremban, serta pengguna lebuh raya yang singgah untuk bersolat.
"Buat masa ini, pihak kami memberi fokus terhadap pelaksanaan solat Jumaat di surau berkenaan dan belum merancang untuk memperluaskan kemudahan sama di R&R lain," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


