Kajian Di Jepun Mendedahkan Kucing Boleh Kenal Bau Tuan Sendiri
Tapi boleh ke tuan kucing kenal bau kucing dia sendiri?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kucing peliharaan ditemui mampu membezakan dan mengenal pasti bau tuan mereka sendiri
Menerusi laporan Harian Metro, kajian telah dilakukan oleh Universiti Pertanian Tokyo dengan menguji sebanyak 30 ekor kucing dalam eksperimen melibatkan bau individu yang tidak dikenali dengan bau pemilik mereka.
Hidehiko Uchiyama, penyelidik utama, berkata penyelidik mendapati haiwan itu menghabiskan lebih banyak masa menghidu tiub yang mengandungi bau individu yang tidak dikenali, berbanding tiub yang mengandungi bau pemilik mereka sendiri atau tiub kosong.
"Ini menunjukkan, kucing boleh membezakan antara manusia yang mereka kenali dan tidak dikenali berdasarkan bau.
"Namun, belum ada bukti kukuh untuk menyatakan kucing benar-benar boleh mengenali seseorang individu secara spesifik hanya melalui bau badan," katanya.

Tiub yang diberikan kepada kucing mengandungi kapas digosok di bawah ketiak, belakang telinga dan di celah jari kaki
Dalam ujian itu, tiub plastik diberikan kepada kucing mengandungi kapas yang digosok di bawah ketiak, belakang telinga dan di celah jari kaki sama ada daripada tuan kucing atau individu asing.
Kucing dilihat lebih lama menghidu bau orang asing, berbanding bau pemilik mereka sendiri.
Ini satu pola tingkah laku yang menurut penyelidik, serupa dengan tingkah laku anak kucing yang lebih lama menghidu kucing betina asing berbanding ibu mereka sendiri.
Kajian itu juga mencatat tingkah laku kucing menggosok muka mereka pada tiub selepas menghidu, satu perbuatan biasa digunakan kucing untuk menandakan kawasan atau objek dengan bau mereka sendiri.

Masih tidak membuktikan kebenaran perasaan kucing
Penyelidik menyimpulkan kucing menggunakan deria bau untuk mengenali manusia, tetapi mereka mengakui lebih banyak kajian diperlukan untuk membuktikan sama ada kucing benar-benar mengenali pemilik mereka melalui bau sahaja.
Menurut penyelidik dari Universiti Bari, Serenella d'Ingeo yang tidak terbabit dalam kajian tersebut, hasil itu hanya menunjukkan reaksi kucing terhadap bau yang dikenali dan tidak dikenali, tetapi tidak dapat mengesahkan apa perasaan atau niat sebenar kucing itu.
"Kita tidak tahu sama ada kucing itu tenang, teruja atau takut ketika menghidu.
"Ujian dijalankan oleh tuan kucing sendiri yang sememangnya membawa bau mereka dalam persekitaran ujian.
"Jadi, bau asing mungkin lebih menarik perhatian kucing secara semula jadi," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via