“Efisien Tapi Rakyat Belum Bersedia” – PMX Perjelas Kenapa Kerajaan Terpaksa Tangguh GST
Menurut PMX, pendapatan rakyat masih rendah.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Walaupun sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dianggap lebih telus dan efisien, kerajaan masih memilih untuk tidak mengembalikannya buat masa ini
Menurut laporan Sinar Harian, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keutamaan kerajaan sekarang adalah menjaga kebajikan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang akan paling terkesan jika GST dilaksanakan semula.
"GST itu adalah sistem percukaian antara yang efisien dan telus tetapi terpaksa kita tangguhkan kerana dasar pendapatan rakyat itu terlalu rendah.
"Orang yang pendapatan RM2,000, walaupun kita bagi beberapa pengecualian, tetapi banyak yang terkena (cukai). Memang beli gula, beras tak kena cukai, namun dia pergi beli barang lain, naik bas, semua itu secara tidak langsung kena cukai GST.
"GST itu menyeluruh, telus (memang) senang pelaksanaannya, tetapi saya kata, biarlah pendapatan rakyat naik dahulu. Katalah gaji minimum RM4,000, mungkin masa itu kita kata boleh. Sekarang ini orang masih ada gaji RM1,700 atau RM2,000 pun ada," katanya.

SST diperbaiki, tetapi keperluan asas masih dikecualikan
Sebagai alternatif, kerajaan kini menambah baik sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini. Pelaksanaannya dibuat secara progresif dan bersasar. Selain itu, barangan asas rakyat tidak akan dikenakan cukai tambahan.
Menurut beliau, tujuan pelaksanaan percukaian itu adalah untuk memastikan hasil negara dapat dikembalikan semula kepada rakyat menerusi peruntukan besar seperti dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
"Ambil contoh peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pada 2023 sebanyak RM8 bilion disalurkan, kini mencecah RM13 bilion untuk manfaat sembilan juta rakyat.
"Begitu juga pendidikan, kita tambah kepada RM64 bilion untuk sekolah anak-anak kita.
"Kementerian Kesihatan juga terima peningkatan RM4 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM45 bilion. Ini bukti cukai yang diambil, kita pulangkan semula kepada rakyat dengan cara paling berfaedah," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



