Zara Zya & Jazmy Juma Bergandingan Buat Kali Pertama Dalam ‘Namamu Cinta’
Bagi peminat drama ringan tetapi penuh makna, ini mungkin siri yang sesuai untuk dimasukkan dalam senarai tontonan Februari anda.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Platform penstriman Tonton tampil dengan sebuah lagi naskhah baharu yang dijangka mencuri perhatian penonton, kali ini menerusi siri komedi romantik bertajuk 'Namamu Cinta'

Bermula 14 Februari, drama 10 episod terbitan Red Communications ini diarahkan oleh Khairi Anwar dengan skrip sentuhan Anwar Hadi dan Baizura Kahar.
Lebih menarik, siri ini menggandingkan buat pertama kali Zara Zya dan Jazmy Juma sebagai teraju utama. Turut memeriahkan barisan pelakon ialah Shahz Jaszle, Syad Mutalib, Sobri Anuar dan Nor Albaniah.
Wanita perfectionist & lelaki pencinta batik, bila dua dunia bertembung
Dalam 'Namamu Cinta' Zara membawakan watak sebagai Nuna, seorang usahawan fesyen berjaya yang hidupnya penuh disiplin dan kawalan.
Di dunia perniagaan, semuanya mesti sempurna. Namun di sebalik kejayaan itu, rumah tangganya bersama Hisham, lakonan Shahz Jazle retak sehingga membawa kepada perceraian.
Luka itu bukan sekadar memutuskan hubungan, malah menggoncang keyakinan diri yang selama ini menjadi kekuatannya.
Demi mencari semula ketenangan, Nuna pulang ke Kampung Bagan Lalang. Di sana, dia dipertemukan dengan Aslan (Jazmy Juma), pembuat batik muda yang memilih kehidupan sederhana dan penuh makna. Bagi Aslan, batik bukan sekadar kain bercorak, ia adalah warisan dan jiwa.

Dari benci jadi sayang?
Pertemuan dua karakter berbeza ini mencetuskan banyak momen mencuit hati. Nuna yang tegas dan bercita-cita tinggi sering bertentangan dengan Aslan yang santai dan tenang.
Namun, di sebalik perbezaan itu, wujud ruang untuk saling memahami.
Konflik makin memuncak apabila Anis (Syad Mutalib) yang diam-diam menyimpan perasaan terhadap Aslan mula berasa terancam. Dalam masa sama, bekas suami Nuna kembali dengan harapan mahu memperbaiki hubungan.
Kini Nuna terpaksa membuat pilihan, kembali kepada dunia glamor yang pernah dimilikinya atau memilih jalan baharu yang lebih sederhana tetapi menenangkan jiwa?
Cinta, kehilangan & peluang kedua
Menurut Zara, watak Nuna menuntut keseimbangan emosi yang mendalam kerana karakter itu menyembunyikan kerapuhan di sebalik ketegasan.
"Cabaran terbesar adalah menampilkan sisi kuat dan rapuh dalam masa sama. Seronok bergandingan dengan Jazmy kerana keserasian itu membantu menjadikan babak lebih hidup," katanya.
Manakala, Jazmy menyifatkan Aslan sebagai simbol ketenangan dalam kekalutan hidup, lelaki yang tidak mengejar kemewahan, sebaliknya percaya pada keikhlasan.
Dengan latar kampung yang indah serta elemen seni batik sebagai nadi penceritaan, 'Namamu Cinta' bukan sekadar kisah cinta biasa. Ia menyentuh soal kehilangan, penerimaan dan keberanian untuk memulakan hidup semula.
'Namamu Cinta' akan ditayangkan secara eksklusif di Tonton bermula 14 Februari ini. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 