Suka Makan Tandoori, Ini 7 ‘Fun Facts’ Michael Jackson Masa Tour Di Malaysia 30 Tahun Lalu
Hampir 40,000 peminat hadir pada setiap malam untuk menyaksikan persembahan King Of Pop itu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Legenda muzik dunia, Michael Jackson (MJ) pernah menggegarkan Kuala Lumpur hampir tiga dekad lalu menerusi konsert mega yang masih menjadi bualan peminat sehingga hari ini
Sempena tayangan filem biopik 'Michael', ramai kembali mengimbau detik istimewa ketika Raja Pop itu menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 1996.
Dilahirkan pada 1958, Michael Jackson dikenali sebagai antara figura paling berpengaruh dalam sejarah muzik dunia. Bermula sebagai penyanyi utama kumpulan Jackson 5, beliau kemudian mencipta fenomena global menerusi album ikonik seperti Thriller, Bad dan Dangerous.
Sepanjang kariernya, beliau bukan sahaja memecahkan rekod industri muzik, malah mengubah budaya pop dunia dengan gaya tarian moonwalk dan persembahan pentas luar biasa.
Malaysia turut menjadi salah satu destinasi impiannya untuk bertemu peminat. Sebenarnya, Michael dijadualkan mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 1993, namun ia dibatalkan atas faktor kesihatan. Tiga tahun kemudian, barulah impian peminat tempatan menjadi kenyataan.
Khas untuk peminat MJ, ini adalah 7 fun facts semasa beliau datang ke Malaysia pada tahun 1996 yang mungkin korang tidak tahu:
1. Gegarkan Stadium Merdeka selama dua malam

Michael Jackson mengadakan dua konsert mega di Stadium Merdeka pada 27 dan 29 Oktober 1996 menerusi jelajah dunia HIStory World Tour.
Jelajah itu merupakan tour dunia terakhirnya yang merangkumi 82 konsert di 56 bandar dengan kehadiran sekitar 4.5 juta peminat.
Di Malaysia, hampir 40,000 peminat hadir pada setiap malam untuk menyaksikan persembahan legenda tersebut secara langsung.
2. Persembahan dua jam dengan lagu-lagu ikonik, dua peminat wanita berpeluang naik ke pentas

Konsert dimulakan dengan lagu Scream sebelum disusuli They Don't Care About Us. Antara lagu lain yang dipersembahkan termasuk Smooth Criminal, Billie Jean, Thriller, Beat It dan Dangerous.
Momen paling diingati ialah apabila dua peminat wanita dipilih naik ke pentas ketika lagu You Are Not Alone dimainkan.
Ketika lagu Heal The World pula, kanak-kanak tempatan turut dijemput naik ke pentas sambil memakai pakaian tradisional dan uniform sekolah.
Harga tiket pada waktu itu dilaporkan serendah RM65 hingga RM400, jauh lebih murah berbanding harga konsert artis antarabangsa masa kini.
3. Menginap di Hotel Concorde Kuala Lumpur


Sepanjang berada di Kuala Lumpur, Michael menginap di Hotel Concorde Kuala Lumpur dalam suite mewah seluas 3,000 kaki persegi.
Menariknya, bilik tersebut masih dikekalkan sebagai 'time capsule' dengan gambar, memorabilia dan barangan bertandatangan milik Michael Jackson.
Hotel itu turut pernah berkongsi bahawa beliau meninggalkan autograf bertulis "Saya cinta Malaysia!" untuk kakitangan hotel.
4. Peminat serbu MJ di 1 Utama sampai pintu terpaksa ditutup


Kehadiran Michael di 1 Utama Shopping Centre mencetuskan kekecohan besar apabila ribuan peminat membanjiri pusat beli-belah tersebut.
Keadaan menjadi terlalu sesak sehingga pihak keselamatan terpaksa menutup pintu sementara waktu. Difahamkan, Michael membeli mainan sebagai hadiah untuk kanak-kanak, bukannya untuk dirinya sendiri.
5. Sempat luang masa bersama kanak-kanak

Di sebuah cawangan Toys"R"Us, sekumpulan kanak-kanak menyambut kehadirannya dengan nyanyian "King of Pop" dan lagu Heal The World.
Michael dikatakan tersenyum sambil bertepuk tangan melihat persembahan mereka. Kanak-kanak dari rumah kebajikan juga diberi peluang bertemu dengannya dan bermain party string bersama penyanyi legenda itu.
6. Peminat berkampung depan hotel setiap hari

Sepanjang Michael berada di Malaysia, ratusan peminat berkumpul di luar hotel hanya untuk melihat kelibatnya di balkoni tingkat 18. Ada yang siap membawa belon dan sepanduk besar bertulis "Welcome Michael, We Love You".
Michael beberapa kali muncul di balkoni untuk melambai dan menandatangani autograf buat peminat. Menurut laporan media tempatan ketika itu, beliau disifatkan sebagai seorang yang sopan, pendiam, mesra dan sangat baik dengan peminat.
7. Sanggup tahan sakit perut demi ayam Tandoori

Menurut laporan The Star, pengurus makanan dan minuman Concorde Hotel Kuala Lumpur, Badrul Hisham berkata antara kisah paling menarik ialah Michael Jackson dikatakan jatuh cinta dengan ayam tandoori ketika berada di Malaysia.
Menurut kakitangan hotel, penyanyi itu mengalami sakit perut selepas menikmati hidangan tersebut. Namun, kerana terlalu menyukainya, beliau tetap makan ayam tandoori hampir setiap hari sepanjang berada di sini.
"Dia sangat menyukainya sehingga makan hidangan itu lagi selama beberapa hari," katanya.
Bintang terkenal itu juga menggemari aiskrim dan coklat M&M's. Sebelum berangkat pulang, Michael Jackson turut menghadiahkan sekeping gambar bertandatangan kepada Badrul sebagai tanda penghargaan.
Yang pasti, kedatangan King Of Pop itu sudah tentu meninggalkan kenangan manis kepada rakyat Malaysia. Beruntung siapa yang dapat bergambar dengan MJ!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 


