Warung ‘Legend’ Di Kuching Ini Masih Tawarkan Makanan RM2 Lepas 30 Tahun Berniaga

Murahnya harga makanan dia.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Harian Metro
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Warung Hasmida yang terletak di Jalan Lumba Kuda, Kuching menjadi tumpuan ramai kerana masih menawarkan pelbagai jenis makanan dengan harga serendah RM2, manakala minuman pula hanya RM1

Menerusi laporan Harian Metro, anak kepada pemilik kedai, Mohd Firdaus Buang, 36 tahun memberitahu jualan harga murah di kedai mereka bermula atas kesedaran mahu membantu masyarakat berpendapatan rendah mengurangkan kos sara hidup.

Menurutnya, ketika mula beroperasi lebih 30 tahun lalu, kedai itu menjual mi Jawa pada harga 50 sen manakala air sirap 20 sen.

Disebabkan lokasi warung itu yang berhampiran dengan pejabat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), kebanyakan pelanggan ketika itu terdiri daripada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kedai kami memang menjadi tumpuan pekerja MBKS untuk bersarapan dan makan tengah hari kerana harga yang ditawarkan memang teramat rendah iaitu hanya 70 sen jika makan sepinggan mi Jawa dan minum sirap," katanya.

SAYS.com
Image via Warung Hasmida (Facebook)

Ada pelanggan yang mencadangkan harga dinaikkan, tapi masih mengekalkan harga mampu milik

Mohd Firdaus berkongsi bahawa beberapa tahun kemudian, ada pelanggan mencadangkan agar harga makanan dinaikkan kepada RM1, dan ibunya bersetuju dengan cadangan tersebut.

Namun begitu, harga minuman tetap dikekalkan pada hanya 20 sen sebagai tanda keprihatinan kepada pelanggan setia.

"Tetapi selang beberapa lama ada lagi pelanggan kalangan kakitangan MBKS mencadangkan minuman dinaikkan kepada 50 sen supaya harga semua makanan dan minum genap RM1.50.

"Mereka kata harga barangan ketika itu sudah semakin naik menyebabkan kos barang keperluan untuk kedai makan juga naik," katanya.

Difahamkan, hampir 20 tahun lalu ada lagi yang mencadangkan agar harga makanan dinaikkan RM2 namun minuman kekal 50 sen.

SAYS.com
Image via Warung Hasmida (Facebook)

"Namun selepas itu ada pula yang mencadangkan harga minuman seelok-eloknya genap RM1 untuk menjadikan makanan dan minuman semuanya berharga RM3.

"Pelanggan berpuas hati dengan juadah yang disediakan namun ada kalangan mereka kasihan kerana harga yang kami tawarkan tidak sepadan dengan kos yang semakin tinggi dan kami mengekalkan harga RM3 itu sehingga kini," katanya.

Tambahnya, sejak harga makanan di warung mereka tular di media sosial, kedai itu mula menjadi tumpuan ramai, bukan sahaja pelanggan tempatan, malah pelancong dari luar Sarawak pun turut singgah untuk merasa sendiri keenakan dan harga 'legend' yang ditawarkan.

"Baru-baru ini ada sekumpulan pelancong dari Semenanjung singgah dan mereka seolah-olah tidak percaya dengan harga yang kami tawarkan sehingga ada antara mereka meminta resit untuk dibawa balik dan ditunjukkan kepada kawan-kawan di sana.

"Malah kini ramai pengunjung dari negara jiran terutamanya dari Kalimantan, Indonesia singgah di kedai kami selepas mengetahui harga murah yang kami tawarkan," katanya.

SAYS.com
Image via Warung Hasmida (Facebook)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik