Wartawan Perancis Dapat Hidayah Lepas Ziarah Kubur Nurly, Berniat Mahu Khatam Al-Quran
Difahamkan, salah seorang daripada mereka adalah wartawan televisyen dari Perancis, kini bekerja di Kuala Lumpur.
Cover image via @_.eeiqwan (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wartawan asal Perancis meluahkan rasa sebak ketika menziarahi pusara pelajar UPSI, Allahyarham Nurly Sahirah Azman, yang terkorban dalam tragedi bas menyayat hati di Gerik baru-baru ini
Menerusi video di laman TikTok, kunjungan itu bukan sekadar penghormatan, tetapi satu pengalaman rohani yang membuka matanya terhadap erti kasih sayang, penghargaan dan kekuatan iman.
Walaupun datang dari dua benua berbeza. Aris mengakui hatinya begitu tersentuh dengan sambutan dan kebaikan keluarga Allahyarham, serta semangat luar biasa masyarakat Malaysia yang masih kuat berpaut kepada nilai kemanusiaan dan kepercayaan kepada Ilahi.

Kongsi pengalaman terhidu haruman wangi ketika di pusara arwah
Menerusi laporan Harian Metro, kunjungan Muhammad Aris bersama adiknya, Fatimah, ke tanah perkuburan Kampung Gong Pasir, Kerandang baru-baru ini nyata bukan sekadar ziarah biasa.
Ia menjadi momen luar biasa apabila kedua-duanya mendakwa terhidu haruman wangi saat berada di pusara Allahyarham Nurly Sahirah yang menyentuh emosi dan sukar dijelaskan dengan kata-kata.
Apa yang lebih mengharukan, menurut bapa arwah, Azman Mohamad, 63, Aris dan Fatimah sebenarnya tidak pernah mengenali keluarga mereka sebelum ini.
Namun, takdir menemukan mereka selepas Aris bertemu Fatimah secara kebetulan di Kuala Lumpur, lalu membawa langkah mereka ke rumah keluarga arwah dan membawa bersama niat murni untuk menziarahi dan menyampaikan salam takziah.

"Salah seorang daripada mereka adalah wartawan televisyen dari Perancis, dikenali sebagai Muhammad Aris dan adiknya, Fatimah, kini bekerja di Kuala Lumpur.
"Muhammad Aris kebetulan berjumpa Fatimah di Kuala Lumpur. Mereka datang ke Duyong, Kuala Terengganu, seterusnya singgah ke rumah kami untuk menziarahi kubur arwah Nurly," katanya.
Tambah Azman, mereka berdua tergerak hati untuk singgah ke rumah keluarganya dan mahu melihat sendiri kubur arwah.
"Mereka juga berkongsi pengalaman terhidu haruman ketika berada di kawasan kubur arwah, tetapi kami sendiri belum pernah menghidu bau seperti itu," katanya.
Dalam video yang kini tular, Muhammad Aris meluahkan hasrat mendalamnya untuk mengkhatamkan Al-Quran sebaik sahaja kembali ke Perancis.
"Sekarang saya belum khatam Al-Quran, tetapi selepas balik nanti, saya akan usaha untuk tamatkan," ujarnya.
Sementara itu, adiknya Fatimah turut berkongsi rasa yang sama. Katanya, kunjungan ke pusara Allahyarham Nurly Sahirah memberikan inspirasi besar untuk dirinya lebih dekat dengan al-Quran dan memperbaiki hubungan spiritual dengan Tuhan.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



