Wanita ‘Ulat Teksi’ Selamba Kenakan Caj RM836 Dari KLIA Ke KL Kini Telah Ditahan
Wanita berkenaan kini ditahan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita yang menjadi 'ulat teksi' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai mengenakan tambang 900 peratus lebih tinggi daripada harga yang dipersetujui kepada seorang pelancong
Menurut laporan Harian Metro, walaupun isu tersebut sudah tular di media antarabangsa, wanita berusia 30-an itu dilaporkan masih berdegil dan meneruskan kegiatan sama, mencari mangsa di pintu masuk utama negara.
Menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, sebelum ini wanita tersebut dilaporkan mengenakan tambang RM836 kepada seorang pelancong dari China walaupun pada mulanya bersetuju dengan harga RM83 bagi perjalanan dari KLIA ke ibu negara.

"Suspek ditahan susulan penyamaran anggota JPJ menerusi Ops Ulat pada 1 pagi hari ini. Dia didapati menggunakan kereta Perodua Axia yang dipercayai disewa daripada orang lain.
"Berdasarkan rekod, ini kali pertama suspek ditahan, kita percaya dia 'ulat' tegar, walaupun sudah tular dia masih berdegil dan meneruskan kegiatan itu. Semasa ditahan suspek mendakwa melakukan kegiatan itu untuk mencari pendapatan tambahan," katanya.
Bekerja dalam kumpulan dan dapat pendapatan lumayan
Azrin berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita itu bergerak secara berkumpulan, namun setakat ini hanya dia yang berjaya ditahan.
Difahamkan, pihaknya percaya wanita tersebut mampu meraih pendapatan lumayan hasil daripada kegiatan ini, namun tidak mendedahkan jumlah sebenar.

"Modus operandinya adalah menanti pelanggan dari dalam (KLIA). Tidak dapat dipastikan destinasi pelancong berkenaan tetapi kita percaya ke Kuala Lumpur dan suspek mengenakan harga yang tinggi," katanya lagi.
Wanita berkenaan kini ditahan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010. Kenderaan Perodua Axia yang digunakan juga telah disita bagi membantu siasatan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 