Wanita Persoal SOP JPJ Lepas MPV Mewahnya Disita – “Langsung Tak Bertimbang Rasa”
Dia mendakwa pinjaman kenderaan miliknya telah pun selesai dibayar sepenuhnya.
Cover image via FacebookFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang ibu kepada empat anak tampil merayu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di media sosial selepas kenderaan MPV mewah miliknya disita dalam satu operasi di Pahang bulan lalu
Dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa, 9 September, wanita berkenaan yang juga seorang usahawan mendakwa Toyota Alphard miliknya dirampas oleh tiga pegawai penguat kuasa pada 30 Ogos lalu ketika Ops Luxury iaitu gerakan besar-besaran JPJ membanteras kenderaan mewah yang dikesan menggunakan cukai jalan tamat tempoh.
Dia mengakui terlepas pandang untuk memperbaharui cukai jalan, namun menegaskan dirinya segera cuba menyelesaikan perkara itu di lokasi kejadian.
"Masa tu saya terus merayu siap call agen insurans depan pegawai tu untuk hidupkan roadtax serta-merta.
"Saya mohon disaman saja, sebab memang nak renew terus on the spot. khilaf saya betul-betul terlupa.
"Tapi rayuan saya langsung tak dilayan. Anak saya menangis dalam kereta, saya jelaskan itu kereta arwah suami, risau urusan nak tebus nanti jadi rumit," tulisnya.

Menurutnya, insiden itu berlaku di hadapan anak kecilnya sendiri yang menangis teresak-esak ketika pegawai penguat kuasa menyita kenderaan tersebut.
Dia menjelaskan bahawa MPV mewah itu merupakan peninggalan arwah suaminya, dan hatinya dilanda kebimbangan besar bahawa proses menuntut semula kenderaan selepas disita akan melibatkan prosedur yang rumit.
Pegawai penguat kuasa pula didakwa memaklumkan bahawa kenderaan hanya boleh ditebus selepas cukai jalan diperbaharui dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) dikemukakan.
Namun, meskipun dia telah memperbaharui cukai jalan tidak lama selepas itu, katanya JPJ tetap enggan melepaskan kenderaan tersebut dengan alasan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
Wanita itu menambah, ketika disita kereta berkenaan sedang membawa barangan untuk perniagaannya.
Ia sekali gus memaksanya membatalkan hari pertama perniagaan di sebuah pasar di Kuantan, tempat pekerjanya sudah menunggu untuk memasang gerai.
"SOP ni langsung tak bertimbang rasa ke? Ini bukan kereta penjenayah. Bukan kereta dadah.
"Ini kereta keluarga, kereta arwah suami yang saya gunakan untuk hantar 4 orang anak kecil ke sekolah, untuk berniaga, untuk urusan hidup seharian," luahnya lagi.
Hantarannya yang kini tular segera menyentuh hati ramai warganet, yang meluahkan simpati terhadap nasibnya dan mempersoalkan sama ada JPJ wajar menunjukkan lebih banyak budi bicara dalam kes sebegini.
Sementara itu, jurucakap JPJ Pahang mengesahkan kepada China Press bahawa kes berkenaan kini sedang dalam siasatan.

Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



