Wanita Dari Terengganu Miliki Jenis Darah Paling Jarang Ditemui Di Dunia – “The Golden Blood”
Darah ini amat nadir dengan nisbah pemilikan 1 dalam 6 juta penduduk, di mana hanya 50 individu dikesan memilikinya di seluruh dunia.
Cover image via Gambar janaan AIFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita dari Terengganu menarik perhatian dunia perubatan apabila dikenal pasti sebagai satu-satunya pemilik kumpulan darah Rh null di Malaysia
Memetik laporan Berita Harian, keistimewaan ini meletakkan beliau dalam kelompok manusia yang sangat terpencil memandangkan jenis darah tersebut merupakan yang paling sukar ditemui di seluruh dunia.
Dikenali secara meluas dengan gelaran "The Golden Blood", pemilikan darah unik ini dianggap sebagai satu anugerah yang amat berharga. Statusnya sebagai pemilik tunggal di negara ini menyerlahkan betapa nadirnya varian darah tersebut dalam populasi manusia global.
Keunikan kumpulan darah ini sangat luar biasa kerana dianggarkan hanya seorang daripada enam juta penduduk memilikinya, dengan hanya 50 individu dikesan di seluruh dunia.
Walaupun lebih selesa tidak dikenali, wanita berusia 29 tahun ini tetap bekerjasama dengan Pusat Darah Negara (PDN) untuk berkongsi maklumat mengenai "darah emas" berkenaan.
Dia hanya mengetahui hakikat itu pada tahun 2016 selepas menderma darah. Pada peringkat awal, beliau mengakui agak sukar untuk mempercayai bahawa dirinya adalah satu-satunya pemilik kumpulan darah paling nadir tersebut di Malaysia.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianSentiasa menjaga kesihatan diri dengan lebih teliti kerana sedar risiko yang ada
Selepas menerima penjelasan pakar perubatan tentang betapa bernilainya kumpulan darah berkenaan, dia mula menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka.
"Namun selepas doktor memberikan penjelasan mengenai kepentingan dan keunikan kumpulan darah ini, saya mula reda serta memahami tanggungjawab yang perlu dipikul.
"Sejak itu, saya sentiasa menjaga kesihatan diri dengan lebih teliti kerana sedar risiko yang ada," katanya.
Kesedaran ini teruji apabila dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 2024.
"Walaupun dalam keadaan kesakitan tetapi perkara pertama dimaklumkan kepada orang awam (yang datang membantu) ialah mengenai keadaan dirinya yang memiliki jenis darah sangat jarang ditemui itu.
"Maklumat berkenaan penting untuk disampaikan bagi memastikan saya mendapat rawatan yang tepat. Jujurnya, di sebalik keistimewaan memiliki darah emas ini, saya juga sedar akan risikonya.
"Contohnya apabila berkahwin dan hamil kelak, keadaan juga perlu diuruskan dengan lebih rapi serta pemantauan perubatan yang teliti," katanya.

Gambar janaan AI
Kumpulan darah ini pertama kali dikesan dalam sejarah perubatan pada tahun 1961
Dia sentiasa berdoa agar dikurniakan kesihatan yang baik demi mengelakkan komplikasi perubatan, memandangkan kesukaran mendapatkan bekalan darah sepadan di Malaysia.
Hal ini berikutan kesukaran yang bakal dihadapi untuk mendapatkan bekalan darah yang sepadan, memandangkan beliau merupakan satu-satunya individu di Malaysia yang memiliki jenis darah unik tersebut.
"Apapun saya berharap semoga lebih ramai rakyat Malaysia tampil menderma darah kerana melalui pendermaan darahlah saya dapat mengetahui kumpulan darah sendiri.
"Semoga masyarakat dapat memahami betapa pentingnya peranan penderma darah dalam menyelamatkan nyawa," katanya yang turut menderma darah untuk disimpan di PDN," katanya.
Darah Rh null atau The Golden Blood mula dikesan pada seorang wanita Australia pada 1961.
Darah ini dianggap penyelamat nyawa kerana sifatnya yang universal dan neutral tanpa antigen, sekali gus mengurangkan risiko penolakan semasa transfusi.
Walau bagaimanapun, bekalan darah ini amat kritikal kerana hanya dimiliki kira-kira 50 orang di dunia, dengan hanya 10 daripadanya merupakan penderma aktif.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



