Wang Kertas Baharu Di Brunei Kini Guna Denominasi Dolar, Bukan Lagi Ringgit
Reka bentuknya turut memperlihatkan unsur identiti kebangsaan dan ikon penting yang mencerminkan sejarah serta budaya Brunei Darussalam.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) mengumumkan bahawa satu siri baharu wang kertas akan diperkenalkan bagi lima denominasi iaitu BND1, BND5, BND10, BND100 dan BND500 yang dijangka mula beredar pada separuh pertama tahun 2026
Menurut kenyataan rasmi BDCB, langkah ini menjadi pencapaian penting dalam pembangunan mata wang Brunei dengan penambahbaikan ciri keselamatan mengikut piawaian antarabangsa bagi melindungi wang kertas daripada sebarang cubaan pemalsuan.
Siri baharu ini mengekalkan wajah yang sudah sebati dengan rakyat Brunei iaitu potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah pada wang kertas BND1, BND5, BND10 dan BND100.
Manakala bagi BND500, potret Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien terus dikekalkan sebagai penghargaan terhadap warisan negara.
Reka bentuknya turut memperlihatkan unsur identiti kebangsaan dan ikon penting yang mencerminkan sejarah serta budaya Brunei Darussalam.
Tidak lagi guna denominasi Ringgit bermula tahun depan

Selain itu, perubahan turut dibuat dari segi istilah rasmi mata wang, di mana sebutan 'Ringgit' digantikan dengan 'Brunei Dollars' bagi semua denominasi. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap sebutan rasmi tersebut serta menggalakkan penggunaannya secara lebih meluas.
Bagi memastikan akses pembayaran inklusif, BDCB juga memperkenalkan ciri khas DOMINO™, iaitu titik timbul di bahagian kanan bawah setiap wang kertas yang membantu golongan cacat penglihatan mengenal pasti nilai denominasi dengan mudah.
Dalam kenyataan itu juga menyebut yang wang kertas lama masih sah digunakan dan kekal sebagai tender sah di negara ini. Dengan itu, wang kertas baharu dan lama akan beredar bersama, sekali gus menjamin kelancaran urusan harian tanpa menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan Brunei Darussalam.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



