Video Tular Jururawat Melayu Suap Pesakit India Terima Pengiktirafan KKM
Beliau memuji tindakan Deena yang berjaya menterjemahkan jiwa sebenar Malaysia dalam tugasannya.
Cover image via Dr Dzulkefly Ahmad (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tular seorang jururawat menyuapkan makanan kepada pesakit warga emas berbangsa India membuktikan bahawa nilai kemanusiaan dan kasih sayang jauh melampaui perbezaan agama serta bangsa
Tindakan murni yang dilakukan oleh Nur Deena Nadzhiefa itu bukan sahaja menyentuh hati netizen, malah turut mendapat perhatian istimewa daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Dedikasi jururawat tersebut telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada Menteri Kesihatan sewaktu kunjungan beliau ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Menerusi hantaran di Facebook, penghargaan itu disampaikan bersempena dengan majlis perasmian bangunan baharu hospital tersebut, sekali gus mengangkat sikap terpuji itu sebagai contoh teladan dalam perkhidmatan kesihatan negara.

Video yang menyentuh hati itu mendorong beliau untuk bertemu sendiri dengan jururawat tersebut
Dr. Dzulkefly menyifatkan video yang menyentuh jiwa itu sebagai pendorong utama untuk beliau bertemu sendiri dengan jururawat berkenaan bagi menzahirkan penghargaan secara peribadi.
"Video tular Jururawat Nur Deena Nadzhiefa menyantuni pesakit warga emas berbangsa India baru-baru ini benar-benar menjentik hati saya," katanya.
Tambahnya, anugerah yang diberikan adalah kecil berbanding nilai ihsan yang ditunjukkan oleh Nur Deena Nadzhiefa.
Beliau menegaskan bahawa layanan penuh empati merupakan 'ubat' paling mujarab di hospital, mengatasi kepentingan ubat-ubatan fizikal semata-mata.

Sambil menzahirkan ucapan terima kasih, beliau memuji tindakan Deena yang berjaya menterjemahkan jiwa sebenar Malaysia dalam tugasannya dan berharap agar keikhlasan tersebut menjadi inspirasi buat semua.
Sebelum ini tular video berdurasi 41 saat yang memaparkan keikhlasan seorang jururawat menyuapkan makanan menggunakan tangan kepada seorang pesakit warga emas berbangsa India.
Rakaman yang menyentuh jiwa itu mendapat pujian meluas daripada warganet yang terharu melihat sikap empati serta nilai kemanusiaan tinggi yang ditunjukkan tanpa mengira perbezaan agama.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



