[VIDEO] Tindakan Berani Staf Oriental Kopi Kejar & Hentikan Suspek Kes Ragut Dipuji Ramai
Situasi cemas itu berjaya dikawal apabila beberapa pekerja bertindak segera mengejar dan menghentikan suspek.
Cover image via @orientalkopi.asia (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tindakan berani beberapa pekerja di restoran Oriental Kopi berjaya menggagalkan cubaan ragut yang berlaku secara tiba-tiba di premis mereka di AEON Bukit Indah, Johor Bahru, Johor baru-baru ini
Kejadian berkenaan berlaku ketika sekumpulan pelanggan sedang menikmati hidangan sebelum seorang individu bertindak mencuri beg milik seorang wanita dalam sekelip mata.
Menerusi satu posting oleh Oriental Kopi di laman Instagram, video memaparkan rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan suspek berpura-pura bercakap di telefon sebelum berjalan ke bahagian belakang restoran dan mengambil beg mangsa dari arah belakang tanpa disedari.
"Semua berlaku dengan sangat pantas, semua orang terkejut kerana tidak menjangka kejadian itu," katanya.

Bagaimanapun, situasi cemas itu berjaya dikawal apabila beberapa pekerja bertindak segera tanpa teragak-agak untuk mengejar dan menghentikan suspek.
"Tanpa berfikir panjang, mereka terus meluru ke hadapan dan berjaya menghentikan pencuri tersebut. Beg itu berjaya diambil semula dan dipulangkan kepada pemiliknya," menurutnya.
Pihak Oriental Kopi memaklumkan, mangsa dilihat sangat lega sebaik sahaja begnya dikembalikan, sekali gus meredakan ketegangan yang berlaku dalam premis tersebut.
Pengasas Oriental Kopi puji tindakan berani staf gagalkan ragut
Pengasas Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan menyifatkan tindakan pantas kakitangannya menggagalkan cubaan ragut di cawangan AEON Bukit Indah, Johor Bharu semalam sebagai satu contoh keberanian luar biasa yang jarang dilihat dalam situasi sebenar.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata apabila seorang lelaki dipercayai berpura-pura bercakap di telefon sebelum menghampiri meja pelanggan dan melarikan beg tangan milik seorang wanita warga emas dari arah belakang.
"Segalanya berlaku begitu pantas. Suspek berjalan ke bahagian belakang restoran sebelum meragut beg dari belakang tanpa disedari.
"Dalam situasi seperti ini, kebanyakan orang mungkin terkejut dan mengambil masa untuk bertindak," katanya dalam satu posting di laman sosial.

Mengulas lanjut, beliau berkata keberanian kakitangan itu mencerminkan nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan yang tidak boleh dipandang ringan.
"Dalam dunia hari ini, tidak semua orang sanggup mengambil risiko untuk membantu orang lain. Tetapi mereka memilih untuk bertindak. Itu menunjukkan nilai yang kami pegang bukan sekadar layanan pelanggan, tetapi juga rasa tanggungjawab terhadap keselamatan komuniti," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan yang terlibat dan menyifatkan tindakan mereka sebagai sesuatu yang wajar dikenang.
"Keberanian seperti ini jarang berlaku. Ia mungkin nampak kecil, tetapi impaknya besar kepada mangsa dan juga kepada keyakinan orang ramai bahawa masih ada individu yang berani tampil membantu," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berada di tempat awam.
"Walaupun kejadian ini berjaya dikawal, ia tetap satu peringatan bahawa jenayah boleh berlaku dalam sekelip mata. Sentiasa peka terhadap persekitaran dan jaga barangan peribadi masing-masing. Keselamatan adalah keutamaan," tegasnya.
Tonton video di bawah ketika suspek cuba melarikan beg tangan seorang pelanggan:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



