[VIDEO] Pemandu Lori ‘Terjun’ Tinggalkan Kenderaan Sebelum Berlaku Nahas Di Tol Bukit Kajang

Nahas tersebut telah meragut nyawa seorang bayi berusia setahun serta mencederakan tujuh mangsa lain.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Facebook
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Rakaman dashcam tular baru-baru ini mendedahkan detik mencemaskan nahas maut di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu lalu, yang meragut nyawa seorang bayi berusia setahun serta mencederakan tujuh mangsa lain

Melalui rakaman tersebut, pemandu lori didakwa dilihat terjun keluar dari kenderaan ketika ia masih bergerak, sebelum lori berkenaan merempuh plaza tol tanpa kawalan.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 11 pagi, 27 September itu membabitkan sebuah lori membawa muatan besi buruk, kenderaan Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam, sebuah Honda City dan Proton X70.

SAYS.com
Image via Berita Harian

Rakaman berdurasi 33 saat yang disunting dengan kapsyen dan muzik itu memaparkan detik sebelum serta ketika berlakunya rempuhan di Plaza Tol Bukit Kajang

Dalam rakaman tersebut, kereta dengan dashcam dirakam memecut lebih 100km/j, memotong lori muatan besi buruk di lebuh raya. Ketika kenderaan itu seiring, pintu pemandu lori kelihatan terbuka luas sementara lori terus meluncur laju tanpa kawalan.

Kereta dashcam kemudian memperlahankan kelajuan kepada bawah 20km/j untuk beratur di plaza tol.

Namun, lori sama tiba-tiba muncul dari lorong kanan dengan kelajuan tinggi, merempuh beberapa kenderaan di hadapan sebelum menghentam struktur konkrit lorong SmartTAG pada detik ke-22, menyebabkan serpihan beterbangan.

Susulan insiden itu, plaza tol dipenuhi sisa runtuhan sebelum kereta dashcam berhenti sepenuhnya.

Rakaman berkenaan menguatkan dapatan polis bahawa lori berkenaan tidak lagi dikawal pemandu, selepas lelaki itu dipercayai terjun keluar akibat kegagalan brek.

SAYS.com
Image via Malaysiakini

Nahas tragis di Plaza Tol Bukit Kajang itu menyaksikan seorang bayi lelaki berusia setahun terperangkap di bawah sebuah Nissan X-Trail.

Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 11.30 pagi namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Seorang lelaki dewasa yang turut terperangkap di bawah kenderaan sama berjaya diselamatkan lebih awal dan dihantar ke hospital.

Selain itu, tujuh lagi mangsa cedera dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang Specialist Hospital.

Bagaimanapun, Polis Kajang telah menahan pemandu lori berusia 42 tahun sejurus selepas tragedi di Plaza Tol Bukit Kajang, namun lelaki itu kini dibebaskan dengan jaminan

Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau melibatkan dua kesalahan jenayah termasuk berkaitan dadah selain empat saman trafik.

Pemandu tersebut mengakui terjun keluar dari lori selepas mendakwa brek gagal berfungsi. Ujian air kencing dan alkohol yang dijalankan sejurus insiden bagaimanapun didapati negatif.

Menurut Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, suspek mendakwa brek lori gagal ketika perjalanan dari Semenyih ke Putrajaya. Kenderaan itu difahamkan kali terakhir diservis pada April lalu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Lihat video di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik