[VIDEO] Lelaki Menyamar Polis Trafik ‘Kantoi’ Minta Sogokan RM300 Kini Telah Ditahan
Difahamkan, suspek menahan mangsa dan mendakwa motosikalnya diubah suai sebelum meminta wang tunai RM300 untuk mengelak dikenakan saman.
Cover image via VIRAL PERAK (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki yang kononnya 'polis trafik' akhirnya tumpas selepas taktik liciknya meminta sogokan daripada orang awam terbongkar
Menurut laporan Harian Metro, kejadian itu difahamkan berlaku di hadapan sebuah restoran di Taman Ipoh Timur Baru, Bercham, Ipoh, dan tular di media sosial selepas video berdurasi 1 minit 3 saat menunjukkan aksi suspek berpakaian seakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan awal pagi semalam selepas siasatan dibuat berhubung rakaman yang tular tersebut.

"Suspek menahan mangsa dan mendakwa motosikalnya diubah suai sebelum meminta wang tunai RM300 untuk mengelak dikenakan saman.
"Mangsa yang curiga kemudian menghubungi rakannya selain membuat laporan polis. Suspek kemudian berjaya ditahan bersama beberapa barangan yang digunakan untuk tujuan penyamaran," katanya.
Antara barangan yang dirampas termasuk:
- Beberapa pelekat rasmi PDRM
- Ves pantul cahaya bertulis "bike resque"
- Topi dan kasut berlogo PDRM
- Dua motosikal Yamaha Y15ZR
- Walkie talkie

Dalam video yang tersebar, suspek dilihat memakai baju-T berlogo PDRM dan tulisan JSPT (Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) serta seluar mirip uniform polis trafik. Apabila disoal tentang daerah pentadbirannya, suspek cuba berdalih dengan mendakwa dirinya polis bantuan.
Suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam iaitu satu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



