[VIDEO] Kanak-Kanak OKU Cerebral Palsy Fasih Baca Al-Quran Walaupun Ada Kekurangan

Semoga membesar jadi anak yang bijak dan soleh.

Enlarge text
Cover ImageCover image via NSTP/ROHANIS SHUKRI
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Walaupun tidak dapat berjalan dan kurang lancar pertuturannya akibat Cerebral Palsy (CP), Ahmad Baihaqi Isma Nizam dilahirkan dengan kepintaran kerana 'terang hati' membaca kalam suci Allah SWT

Buktinya, Ahmad Baihaqi yang baru berusia 8 tahun sudah mampu membaca dan menghafal surah-surah lazim seperti al-Fatihah, az-Zalzalah serta beberapa ayat daripada surah Yasin.

Menerusi laporan Harian Metro, bapanya, Isma Nizam Norahman, 37, yang menetap di Taman Udang Cendana, dekat sini berkata, dia menyedari kelebihan itu sejak Ahmad Baihaqi berumur empat tahun.

"Waktu itu dia (Ahmad Baihaqi) baru dapat bertutur dan menyebut ayat pertama. Mungkin sebab dia selalu dengar, dia dapat ikut sekali membaca.

"Pada satu hari, saya dengar dia baca al-Fatihah dan daripada situ nampak dia boleh 'tangkap' dan cepat serap apa yang didengar.

"Sebagai bapa, saya bersyukur dan anggap itu kuasa Tuhan. Kita pun tak tahu apa jadi masa depan akan tetapi setiap minit dan detik memang berdoa untuknya supaya lebih sihat dan mampu melakukan sesuatu perkara di luar kemampuannya seperti kanak kanak lain," katanya.

SAYS.com
Image via NSTP/ROHANIS SHUKRI

Bapa sanggup berhenti kerja demi memberi tumpuan kepada Ahmad Baihaqi

Dalam pada itu, Isma Nizam memberitahu bukan mudah untuknya menerima hakikat diuji dengan anak istimewa pada awalnya kerana banyak pengorbanan harus dilakukan.

Menurutnya, antara pengorbanannya yang terbesar adalah berhenti sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Kesihatan (KKM) pada awal 2018 selepas berkhidmat lebih dari lima tahun bagi memberi tumpuan kepada Ahmad Baihaqi yang juga anak kedua daripada tiga beradik.

"Anak saya itu lahir pramatang tahun 2017 ketika kandungan isteri berusia tujuh bulan sebelum didiagnos CP pada 2018.

"Awalnya boleh terima sebab bayi tak cukup bulan perkara biasa…tapi bila disahkan CP dan OKU agak berat nak terima anak kita lain daripada orang lain malah banyak cabarannya.

"Saya kena banyak temankan anak di unit rawatan rapi neonatal (NICU) kerana pada ketika itu, dia pun ada masalah buah pinggang bengkak, mata, saraf dan berberapa masalah lain yang serius. Selepas berfikir, saya ambil keputusan letak jawatan dan walaupun berat hati, dia (anak) lebih perlukan saya," katanya.

SAYS.com
Image via NSTP/ROHANIS SHUKRI

Isma Nizam juga meluahkan rasa syukurnya kerana melihat perkembangan Ahmad Baihaqi dan gembira kerana anaknya diterima masuk ke aliran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Gadong.

"Besar harapan melihat dia berjalan, tapi andai tak kesampaian, dapat uruskan diri pun sudah cukup baik kerana masa dia lahir, doktor beritahu peluangnya 50/50 iaitu antara hidup atau pergi, terlantar sepanjang hayat atau hidup dengan pelbagai masalah kesihatan.

"Namun takdir tertulis sebaliknya apabila anak membesar dengan baik dan Alhamdulillah berjaya mengharung berbagai keadaan getir dalam hidupnya hingga membuatkan saya lebih percaya dengan ketentuan Allah SWT.

"Cuma jujurnya saya pernah berada pada titik terendah dalam kehidupan dan persoalkan ujian ini hingga rezeki saya sempit dan sukar. Tapi selepas muhasabah diri, saya mula menerima hakikat dan menyayangi anak hingga sedikit demi sedikit rezeki bertambah sehingga ke hari ini," katanya.

Apabila ditanya tentang penerimaan orang sekeliling, Isma Nizam menyatakan bahawa masyarakat kini semakin terbuka dan lebih sedar dalam menerima golongan OKU dengan positif.

"Jika dulu, bawa sahaja anak keluar, orang dah pandang atas bawah. Ada juga cakap cakap belakang apa yang terjadi ini adalah kifarah, balasan dan lain lain lagi ayat yang menyakitkan.

"Saya buat tak tahu sahaja kata-kata mereka. Berbeza pada masa sekarang, bawalah anak pergi mana-mana pun, ramai orang sayang dan menyantuni," katanya.

Lihat antara video perkongsian di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik