[VIDEO] Berniaga Sambil Hiking, Lelaki Ini Pikul 42KG Barang Jualan Air Ke Puncak
Mesti rasa nikmat dapat minum air sejuk selepas penat mendaki.
Cover image via @juneythefoodie (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bagi para pendaki, setiap langkah menuju puncak bukan sekadar aktiviti luar, tetapi satu ujian ketahanan diri
Laluan yang curam, batu licin, nafas yang semakin pendek dan tekak yang terasa kering sering menjadi cabaran utama sepanjang pendakian.
Ada ketika, tubuh terasa ingin berhenti, namun pemandangan di hadapan dan semangat dalam diri tetap mendorong mereka untuk terus melangkah.
Namun, bagi mereka yang kerap menawan Bukit Tokun, kehadiran Safiq adalah satu kegembiraan dan suntikan semangat.
Mereka tahu bahawa ganjaran berupa 'air kejayaan' yang menyegarkan pasti menanti sebaik sahaja mereka tiba di puncak.

Minat dalam aktiviti mendaki selain menguji ketahanan diri secara fizikal dan mental
Menerusi laporan Harian Metro, Muhammad Syafiq Azman, 29, yang mesra disapa Safiq, mempunyai rutin hujung minggu yang unik dan mengagumkan di Bukit Tokun, Pulau Pinang.
Berbeza daripada pendaki lain, Safiq mendaki puncak setinggi 547 meter itu sambil memikul beg galas seberat 42 kilogram yang sarat dengan air sejuk.
Malah, anak jati Pulau Pinang ini menghabiskan lebih daripada sejam untuk mendaki melalui laluan hutan dan jalan tar.
Usahanya ini bukan sekadar untuk memenuhi minatnya dalam aktiviti mendaki, tetapi juga merupakan sumber rezeki utama dan cara untuk menguji serta melatih ketahanan diri secara fizikal dan mental.

Safiq menceritakan bahawa perniagaan air minumannya di puncak bukit bermula secara santai pada 29 Jun yang lalu. Dia sama sekali tidak menyangka inisiatif suka-suka itu akan menerima sambutan yang sangat hangat, sehingga ia kini menjadi rutin wajibnya pada setiap hujung minggu dan cuti umum.
Idea untuk menjual minuman di lokasi setinggi itu muncul secara spontan. Dia didorong oleh keinginan untuk melakukan sesuatu yang luar biasa, dengan menggabungkan dua minatnya, mendaki dan keusahawanan.
"Saya seorang pendaki tegar dan suka cabaran baru, tapi tak pernah terfikir minat ini boleh jadi peluang untuk menjana pendapatan sampingan," katanya.
Mengenai persediaan perniagaannya, Safiq berkata, prosesnya bermula pada sebelah malam. Dia akan menyediakan minuman seperti teh ais, kopi ais, dan teh hijau, kemudian menyimpannya di dalam peti sejuk untuk memastikan ia kekal segar.
Keesokan paginya, beliau akan memasukkan semua minuman ke dalam beg galas, dan dalam perjalanan menuju ke kaki bukit, beliau akan singgah untuk membeli ais. Dia tiba di kaki bukit seawal jam 8 pagi.
"Esoknya, saya akan susun semua air di dalam beg dan dalam perjalanan saya singgah membeli ais sebelum terus ke kaki bukit seawal jam 8 pagi. Mendaki sambil memikul beban 38 hingga 42 kilogram bukan mudah, sebab itu saya perlu lakukan persiapan rapi," katanya.
Safiq menjelaskan bahawa perjalanan sejauh 3.6 kilometer ke puncak, merentasi laluan hutan dan jalan tar, mengambil masa lebih kurang satu jam 15 minit, bergantung kepada keadaan cuaca.
Rasa puas lihat pendaki dapat nikmati air sejuk selepas berjaya tawan puncak
Walaupun perniagaan ini hanya bersifat sambilan, rasa puas yang diperoleh apabila melihat kegembiraan pendaki menikmati air sejuk selepas penat mendaki adalah sesuatu yang tidak ternilai.
"Saya tiba di puncak sekitar jam 9.50 pagi dan akan berniaga hingga jualan habis. Walaupun cuma berniaga sambilan, apabila nampak pendaki gembira minum air sejuk selepas penat mendaki, rasa puas yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya.
Antara rintangan utama yang dihadapi oleh Safiq termasuklah mengendalikan trek yang curam dan licin terutamanya ketika hari hujan, selain perlu berhati-hati berselisih dengan pendaki lain di laluan yang sempit.

Namun, semua keletihan fizikal itu hilang serta-merta apabila beliau menyaksikan senyuman pada wajah pendaki yang menikmati air jualannya sebaik sahaja menjejakkan kaki ke puncak.
"Kadang-kadang ada yang sanggup tunggu lama sebab nak beli air. Ramai juga beri cadangan saya bawa lebih banyak jenis minuman kerana air cepat habis," katanya.
Bagi Safiq, walaupun rutin mendaki sambil memikul beban berat setiap minggu ini meletihkan, ia tetap merupakan usaha yang sangat berbaloi. Ia bukan sekadar membantu meningkatkan pendapatan, tetapi juga berfungsi sebagai regimen latihan fizikal yang berkesan.
"Saya dapat sihatkan badan, tambah stamina dan mungkin lepas ini saya akan cuba bawa makanan pula naik ke puncak," katanya.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



