UTP & UM Terajui Senarai Universiti Terbaik Malaysia Dalam Times Higher Education Ranking 2026
Tahniah UTP dan UM!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Universiti Malaya (UM) muncul sebagai dua institusi pengajian tinggi terbaik di Malaysia apabila masing-masing berkongsi kedudukan antara 201 hingga 250 dalam Times Higher Education University Ranking 2026 (THE 2026)

Menerusi laporan Times Higher Education, Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila berkongsi kedudukan dalam kelompok 301 hingga 350.
Sementara itu, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berada dalam lingkungan 401 hingga 500, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) disenaraikan pada kedudukan 501 hingga 600.
Empat universiti lain iaitu Management and Science University (MSU), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pula berkongsi kedudukan 601 hingga 800.
Universiti di Asia mencatat peningkatan ketara khususnya dalam bidang STEM, malah perkembangan dalam bidang lain seperti kesenian turut berlaku lebih pantas berbanding institusi di Eropah dan Amerika Utara.

"Dalam bidang sains hayat, terdapat tiga universiti Asia di kedudukan 20 terbaik buat kali pertama apabila National University of Singapore naik ke tangga 19.
"Antara universiti Asia, 17 peratus meningkat dalam senarai kedudukan bagi sains hayat, 16 peratus bagi sains fizikal dan 19 peratus bagi sains komputer.
"Walau bagaimanapun, data 2026 menunjukkan institusi Asia meningkat lebih pantas dalam bidang lain, malah lebih cepat berbanding institusi di Amerika Utara dan Eropah," katanya.
Dalam perkembangan sama, hampir 47 peratus institusi di Asia mencatat peningkatan dalam kategori undang-undang, diikuti pendidikan (32 peratus) serta seni dan kemanusiaan (29 peratus)
Bidang perniagaan dan ekonomi turut merekodkan peningkatan apabila 26 peratus universiti Asia menunjukkan kemajuan, dengan buat pertama kalinya dalam sejarah, tiga universiti Asia berjaya menembusi kedudukan 10 teratas dunia bagi bidang tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 