Ustaz Firdaus Firabib Lepaskan Jawatan Imam & Pengerusi Selepas 7 Tahun Terajui Masjid Al-Busyra
Ustaz Firdaus turut memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan sepanjang memimpin masjid itu.
Cover image via Firdaus Firabib (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Imam dan Pengerusi Masjid Al Busyra, Merbok, Ustaz Firdaus Firabib atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mat Akhir, 37, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa hari ini
Menerusi posting yang dimuat naik di media sosial rasminya, pengumuman itu dibuat beliau selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan hari ini.
Ustaz Firdaus yang memegang jawatan itu sejak tujuh tahun lalu mengakui bukan mudah membuat keputusan berkenaan, namun berpendapat sudah tiba masanya memberi laluan kepada pelapis baharu.
"Selama tujuh tahun saya cuba mengorbankan perasaan, masa dan wang ringgit untuk pembangunan Masjid Al Busyra.
"Dengan ini saya umumkan peletakan jawatan sebagai imam dan pengerusi masjid berkuat kuasa hari ini," katanya.

Rakam penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, ahli jawatankuasa serta kariah masjid yang sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya

"Terima kasih kepada semua ahli kariah yang memberi kepercayaan kepada saya walaupun saya bukan berasal dari sini.
"Saya harap pelapis baharu dapat meneruskan usaha yang telah dibangunkan bersama," katanya.
Firdaus turut memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan sepanjang memimpin masjid itu.
"Saya minta maaf jika ada ahli jawatankuasa, pegawai atau jemaah yang pernah terasa hati dengan saya. Halalkan segala yang berlaku tanpa saya sedar," katanya.

Selain tugas sebagai imam dan pengerusi, beliau juga dikenali sebagai Pengarah Urusan Firabib Group Sdn Bhd dan aktif menggunakan platform TikTok untuk tujuan dakwah serta mengumpul dana.
Menurutnya, sejak mula berkecimpung dalam dunia media sosial, beliau berjanji untuk menyerahkan semua hadiah maya (gift) yang diterimanya kepada masjid, dan sehingga kini lebih RM42,000 sudah disalurkan.
"Saya tidak pernah mengambil satu sen pun daripada gift TikTok, semuanya saya infakkan kembali kepada masjid, selepas ini pun saya akan teruskan infak kepada masjid," jelasnya.
Dalam pada itu, Ustaz Firdaus memaklumkan kedai nasi Arab Al-Busyra Bistro yang beroperasi dalam kawasan masjid juga akan ditamatkan operasi pada 12 Oktober ini dan diserahkan semula kepada pihak masjid untuk diuruskan.
Katanya, walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, beliau tetap akan membantu sehingga beberapa perancangan yang sedang dijalankan dapat diselesaikan sepenuhnya.
@firdaus_firabib Dengan ini saya meletakkan jawatan sebagai Imam & Pengerusi Masjid Al Busyra Merbok.
♬ original sound – 𝙁𝙞𝙧𝙙𝙖𝙪𝙨 𝙁𝙞𝙧𝙖𝙗𝙞𝙗
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



