15 Tahun Jadi Pendidik Kanak-Kanak, ‘Uncle Shukur’ Buktikan Lelaki Pun Mampu Jadi Pengasuh
Difahamkan, pada mulanya banyak ibu bapa berat untuk menerima Shukur sebagai seorang pengasuh dan pendidik kanak-kanak.
Cover image via Muhammad Shukur RosaniFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengasuh adalah kerjaya yang seringkali dikaitkan dengan kaum hawa tetapi lelaki ini telah membuktikan dia mampu menjadikannya satu sumber pendapatan
Muhammad Shukur Rosani atau nama gelaran 'Uncle Shukur' dari anak-anak asuhannya sudah 15 tahun berkecimpung dalam industri.
Kini sudah berumur 37 tahun, Shukur tidak menyangka dia akan terjebak dalam bidang pendidikan kanak-kanak.
Walaupun graduan Diploma Muzik (Pengurusan Pentas) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), minat terhadap mendidik kanak-kanak membuatkannya bertahan lama.
Diperkenalkan kepada industri pendidikan kanak-kanak dari seorang rakan
Menurut laporan dari Harian Metro, Shukur mengatakan dia diperkenalkan oleh seorang kawan kepada pihak pengurusan sebuah taska. Semuanya bermula sejak itu.
"Itulah permulaannya dan sebenarnya, saya ada pengalaman bantu emak dengan ayah menjaga anak saudara waktu masih belajar dulu.

"Jadi, pengalaman itu memang membantu dan tak ada masalah kerana saya memang suka melayan juga menjaga budak-budak.
"Cuma tak sangka boleh jadi pengasuh dan ada karakter cikgu yang disukai budak-budak malah teruja apabila pengetua beri tanggungjawab menjaga kanak-kanak berumur setahun enam bulan hingga tiga tahun ketika mula bertugas ," katanya.
Bapa kepada dua orang anak ini memulakan rutin kerja hariannnya pada 8:30 pagi hingga 6:30 petang untuk mengajar dan mengasuh 30 kanak-kanak.
Cabaran ketika awal bekerja sebagai pengasuh lelaki
Shukur menambah cabaran paling utama adalah penerimaan dan kepercayaan ibu bapa kerana biasanya anak-anak mereka dihantar kepada pengasuh wanita.
Dia juga mengakui perasaan gementar itu ada kerana bukan mudah untuk menjaga anak yang bukan darah dagingnya.
"Jadi bila dapat tahu saya lelaki, ada ibu bapa yang berat nak terima hingga satu masa, mereka maklumkan kepada pengurusan minta saya jangan sentuh anak perempuan mereka." tambah Shukur.
Kepercayaan ibu bapa mengambil masa setahun juga dan itu disebabkan anak mereka bercerita yang baik mengenai dia selepas pulang ke rumah.
Shukur juga menggunakan ilmu yang dipelajarinya di ASWARA dan menyelitkan elemen-elemen pembelajaran dengan muzik.
Isteri Shukur, Putri Halid, 31, juga berada di dalam bidang yang sama. Malah keluarganya juga memberikan sokongan penuh terhadap kerjaya ini.
Baru-baru ini viral di Threads tawar khidmat babysitter lelaki
Baru-baru ini Shukur ada berkongsi satu ciapan di Threads mengenai perkhidmatan mengasuhnya sebagai seorang pengasuh lelaki. Idea ini telah diberikan oleh isterinya untuk menawarkan khidmat pengasuh persendirian selepas waktu bekerja.
Shukur terkejut dengan sambutan yang diterima kerana tidak menyangka ramai yang ada kalanya mencari pengasuh lelaki.

"Tapi baru-baru ini, isteri beri idea tawarkan khidmat sebagai pengasuh persendirian iaitu selepas waktu kerja. Isteri bantu buat poster kemudian saya muat naik di Threads dan tak lama selepas itu, ada yang hubungi kerana mahu gunakan khidmat saya," katanya di Harian Metro.
Dilaman Threads, ramai memuji dan memberitahu pengalaman anak mereka setelah dijaga oleh Uncle Shukur.
Dia juga tidak terfikir untuk menukar pekerjaan lain kerana sudah sebati dengan jiwanya. Malah pengalaman yang didapati setelah mengasuh kanak-kanak membuatnya menjadi seorang bapa yang lebih baik.
"Anak asuhan itu yang banyak mengajar saya sebenarnya jadi selagi khidmat diperlukan, saya akan terus bekerja.
"Begitu juga dengan khidmat sebagai pengasuh persendirian kerana niat saya adalah membantu ibu bapa yang memerlukan seseorang menjaga anak mereka," katanya.
Shukur kini masih bekerja sebagai pengasuh dan guru di satu taska yang telah diusahakan oleh ibu mentua dan isteri sejak enam tahun lalu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



