Uncle Roger Tampil Pertahankan Loghat Malaysia Yang Dikritik Oleh Cef Amerika
Nigel Ng menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak malu dengan identitinya sebagai anak jati Malaysia.
Cover image via mrnigelng (YouTube)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
YouTuber popular kelahiran Malaysia, Nigel Ng, tampil mempertahankan watak Uncle Roger yang sering dikritik kerana menggunakan pelat (aksen) Asia yang dianggap mempromosikan stereotaip kaum
Dalam video terbaharunya, Ng membalas teguran cef terkemuka dari Amerika Syarikat, J. Kenji López-Alt, yang sebelum ini menyifatkan watak tersebut sebagai sesuatu yang bersifat rasis.
"Pelat bukan satu stereotaip. Pelat hanyalah cara kita bercakap dan cara kita hidup. Tiada apa yang salah dengan mempunyai pelat," katanya.
Beliau juga berasa bangga apabila ramai penonton mula meniru gaya percakapan Uncle Roger serta menggunakan istilah slanga Malaysia seperti "haiyaa" dan "fuiyoh" dalam kehidupan seharian.
"Uncle Roger telah mempopularkan slanga Malaysia ke seluruh dunia. Fuiyoh! Apabila orang meniru gaya Uncle Roger, mereka bukan memperlekehkan saya. Ia sebenarnya dilakukan atas dasar minat," katanya.
Komedian berusia 34 tahun ini turut menyatakan bahawa beliau tidak pernah berasa malu menjadi rakyat Malaysia. Beliau membandingkan karyanya dengan pencipta kandungan lain yang turut menggunakan pelat Arab, Itali, atau Hispanik sebagai bahan komedi secara santai.
"Maaf ya, saya tak berbunyi seperti orang putih macam kamu, Anak Saudara (Nephew) Kenji, haiyaa," katanya.
Beliau turut menambah secara jenaka bahawa jika López-Alt berkunjung ke Vietnam, cef tersebut mungkin akan terkejut kerana semua orang di sana bercakap dengan pelat.
Walaupun berlaku perbezaan pendapat, Ng tetap memberikan pujian terhadap resipi nasi goreng López-Alt.
Beliau mendedahkan bahawa beliau sudah lama memiliki buku masakan cef tersebut sebelum mengetahui López-Alt kurang menyenanginya. Ng berharap agar penjelasan ini dapat mengubah persepsi cef tersebut terhadap watak Uncle Roger.

Perselisihan terbuka ini bermula pada Ogos 2021 apabila López-Alt menyatakan rasa tidak senangnya terhadap watak Uncle Roger persona Asia yang digunakan oleh Ng untuk komedi menerusi ruangan deskripsi video resipi nasi goreng di saluran YouTube miliknya
Dalam hantaran tersebut, beliau mengkritik pengaruh Ng yang dilihat seolah-olah memberi "lesen" kepada peminat untuk meniru pola pertuturan dan sebutan stereotaip masyarakat Asia. Beliau turut memerhatikan bahawa individu yang melakukan perkara tersebut selalunya terdiri daripada golongan bukan Asia.
"Ia adalah sesuatu yang buruk, ia adalah yellowface (penyamaran karikatur Asia), ia tidak lucu, dan ia mempromosikan rasisme anti-Asia pada waktu masyarakat Asia sedang mengalami diskriminasi yang teruk. Perkara ini tidak dialu-alukan di sini," katanya.
Susulan kenyataan tersebut, beliau bertindak menutup ruangan komen pada video berkenaan.

Selepas video Ng dimuat naik baru-baru ini, López-Alt segera mengemas kini ruangan deskripsi pada video resipinya yang berusia empat tahun itu
Walaupun memahami niat baik Ng, cef berusia 46 tahun itu menjelaskan bahawa perspektifnya lahir daripada pengalaman sebagai warga Asia yang membesar di Amerika Syarikat (AS) dalam suasana rasisme.
López-Alt berkongsi kebimbangannya mengenai peningkatan keganasan anti-Asia ketika pandemik Covid-19, malah mendedahkan ibunya di New York pernah berasa takut untuk keluar rumah.
Beliau menekankan bahawa pengalaman hidup masyarakat Asia di AS sangat berbeza berbanding mereka yang membesar di Asia.
"Dalam konteks itu, apabila saya melihat komen yang meniru kata-kata atau gaya percakapan kamu, dan mendapati hampir kesemuanya dilakukan oleh lelaki bukan berbangsa Asia-Amerika, ia membuatkan saya rasa tidak selesa. Saya harap kamu boleh fahami perkara itu," katanya.
Beliau menutup kenyataannya dengan menyatakan kesediaan untuk berkolaborasi dengan Ng, dengan syarat mereka berbincang mengenai isu yang rumit ini, saling menghormati pengalaman masing-masing, dan kemudian "menikmati nasi goreng yang sedap bersama-sama".
Lihat video itu di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



