UiTM Umum Tamatkan Kemasukan Pelajar Pascasiswazah Dari Luar Negara
Bagaimanapun UiTM masih mengambil pelajar luar negara untuk pertukaran mahasiswa.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengesahkan bahawa pengambilan pelajar antarabangsa bagi program pascasiswazah telah dihentikan sejak setahun lalu
Menurut laporan Bernama, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata langkah itu diambil selepas pihak universiti menjalankan kajian terperinci, dengan mengambil kira asas penubuhan UiTM yang ditetapkan khusus untuk golongan Bumiputera.
Beliau menegaskan, keputusan tersebut selari dengan matlamat utama universiti untuk terus memberi fokus dalam membantu kumpulan sasar mencapai kejayaan akademik.
"Kita memang sudah setahun tidak mengambil pelajar antarabangsa secara langsung dan ketika ini hanya menunggu pelajar sedia ada menghabiskan pengajian.
"Dalam Akta 173 kita secara jelas menyebut soal Perkara 153. Oleh kerana itu, kami sangat teliti untuk memastikan kita memenuhi peruntukan penubuhan asas UiTM untuk membantu Bumiputera," katanya.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.
Image via NSTP/Amir MamatMasih mengambil pelajar luar negara untuk pertukaran mahasiswa
Shahrin menjelaskan bahawa UiTM masih menerima pelajar antarabangsa melalui program pertukaran mahasiswa, bagi memastikan suasana pembelajaran di kampus terus mempunyai elemen antarabangsa.
Mengulas mengenai dakwaan Suara Siswa UiTM berhubung kemasukan komersial melalui Program UiTMSeat Plus yang dikatakan menimbulkan kebimbangan, beliau menegaskan bahawa saluran tersebut bukanlah laluan utama pengambilan pelajar seperti yang dilaksanakan melalui Unit Pusat Universiti (UPU).
"Jumlahnya adalah sangat sedikit, iaitu daripada keseluruhan 199,000 pelajar hanya 46 orang sahaja yang masuk menggunakan saluran komersial, iaitu UiTMSeat Plus yang membuktikan universiti itu masih memberi keutamaan kepada saluran UPU membabitkan pelajar daripada keluarga B40.
"Kita akan pastikan mereka ini tidak tersisih dalam mencapai atau memasuki program-program yang bersifat profesional dan utama. Jadi pengumuman yang kita buat itu tidak mengganggu tugas utama kita memastikan pendidikan diberikan akses kepada Bumiputera B40," katanya.

Suara Siswa UiTM mengeluarkan kenyataan menzahirkan kebimbangan serius berhubung pengiktirafan Program UiTMSeat Plus yang dimasukkan dalam pekeliling berkaitan permohonan kolej kediaman, baru-baru ini.
Kesatuan itu turut mendakwa program tersebut bersifat tidak adil kerana mewujudkan jurang, apabila pelajar yang diterima masuk melalui saluran UPU dapat menikmati subsidi, sedangkan pelajar berpendapatan rendah yang masuk menerusi UiTMSeat Plus perlu membayar yuran penuh tanpa subsidi.
Sementara itu, acara Jalan-Jalan Kemerdekaan yang diadakan di UiTM turut menarik penyertaan lebih 2,000 peserta terdiri daripada petugas dan pelajar universiti. Mereka berjalan kaki sejauh 4.5 kilometer mengelilingi kawasan sekitar kampus sambil mengenakan pelbagai pakaian bertemakan Jalur Gemilang, termasuk busana Melayu, diiringi laungan 'Merdeka' dan nyanyian lagu-lagu patriotik.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 