UiTM Menang Besar Di Korea, Bawa Pulang 4 Anugerah Antarabangsa Dalam Festival Tarian Topeng Dunia
Terbaiklah, tahniah semua!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat global apabila meraih empat anugerah utama di Andong Mask Dance Festival 2025 yang berlangsung di Andong City, Korea Selatan
Menurut laporan Sinar Bestari, dengan mewakili Malaysia melalui Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN), Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) serta kumpulan Anak Seni Legasi Mandala (ALAM), UiTM membawa pulang:
– Anugerah Gangsa (₩300,000) dan Anugerah Khas Juri (₩150,000) bagi Kategori Individu
– Anugerah Emas (₩2,000,000) dan Anugerah Khas Juri (₩200,000) bagi Kategori Kumpulan Antarabangsa
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Ts Dr Norazah Abd Rahman menyifatkan kejayaan itu sebagai keupayaan UiTM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi seni di peringkat global.
"INSAN dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM telah mengangkat seni budaya Malaysia sebagai bahasa sejagat yang menghubungkan akademia, masyarakat dan dunia," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti sinergi antara universiti, industri kreatif dan komuniti seni
"Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi juga satu bentuk diplomasi budaya yang memperkukuh imej Malaysia di mata dunia.
"UiTM amat berbangga kerana kejayaan berkenaan bukan sahaja mengangkat nama universiti, tetapi juga membuktikan kekuatan bakat dan kreativiti anak bangsa," ujarnya.
UiTM turut memaklumkan bahawa kejayaan tersebut menjadi pengiktirafan kepada kecemerlangan seni persembahan negara serta mengukuhkan peranan universiti dalam pembangunan budaya dan kreativiti di peringkat global.
Festival berprestij itu menghimpunkan hampir 1,000 peserta dari 30 negara dan diiktiraf UNESCO sejak 1997 sebagai pusat utama seni topeng dunia.
Selain meraih anugerah, delegasi UiTM turut menandatangani tiga Surat Hasrat Kolaborasi (LOI) dengan institusi seni antarabangsa serta membincangkan potensi kerjasama akademik bersama delegasi dari Korea, Turki, Jepun dan Filipina.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 