UiTM Cipta Sejarah, Lancar Nanosatelit Kedua UiTMSAT-2 Dari Jepun Ke Angkasa
Malaysia next level!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar sejarah baharu apabila berjaya melancarkan nanosatelit keduanya, UiTMSAT-2, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menerusi misi HTV-X1 yang berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun, semalam
Menurut laporan Berita RTM, pelancaran pada jam 8 pagi waktu Malaysia itu menggunakan roket H3 F7 dan disiarkan secara langsung oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).
UiTMSAT-2 bukan sekadar kejayaan Malaysia, tetapi juga misi satelit serantau pertama ASEAN di bawah inisiatif ASEANSAT yang diterajui UiTM sejak 2021.
Satelit itu direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan penyelidik UiTM bersama rakan universiti dari Filipina dan Thailand, dengan bimbingan teknikal daripada Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun.

Siap sedia ditempatkan di orbit 2026
Kenderaan HTV-X1 dijangka tiba di ISS dalam tempoh 48 hingga 72 jam sebelum UiTMSAT-2 dilepaskan ke orbit rendah bumi pada suku pertama 2026.
UiTMSAT-2 berukuran 10x10x11.35 sentimeter dengan berat 1.1 kilogram, membawa kamera beresolusi tinggi dan sistem Internet benda (IoT) untuk misi pemerhatian bumi, pertanian pintar dan pengurusan bencana.
Menurut Profesor Dr Mohamad Huzaimy Jusoh, UiTM kini mencapai tahap kematangan dalam reka bentuk sistem satelit sepenuhnya, sekali gus membuktikan kemampuan universiti tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Ketua projek, Dr Fatimah Zaharah Ali, menegaskan pelancaran tersebut juga melambangkan hasil pelaburan strategik jangka panjang UiTM dalam melahirkan penyelidik muda bertaraf global.
Disokong MOSTI & rakan ASEAN
Projek berkenaan dibiayai melalui Dana Kolaborasi Antarabangsa (ICF) MOSTI sebanyak RM500,000, dengan tambahan RM20,000 daripada UiTM sendiri.
Filipina turut menyumbang USD40,000, manakala Thailand membantu melalui kepakaran dan peralatan teknikal. Kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut memastikan projek ini mematuhi piawaian antarabangsa.
Apabila dilancarkan dari modul Jepun di ISS tahun depan, UiTMSAT-2 akan menyertai senarai lebih 100 nanosatelit antarabangsa yang pernah dikeluarkan menerusi program JAXA J-SSOD.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menyifatkan kejayaan itu sebagai simbol keupayaan UiTM melahirkan bakat global dan memacu penyelidikan berimpak tinggi.
"UiTMSAT-2 membuktikan bahawa universiti tempatan mampu menjadi peneraju rantau ini dalam bidang angkasa dan inovasi masa depan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 