Tular Video ‘Lelaki Duyung’ Menari Di Gerai Air Balang Kini Diburu JAHEAIK
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) sedang mengesan lelaki berkenaan untuk tindakan lanjut.
Cover image via FacebookFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Aksi seorang lelaki berpakaian menyerupai ikan duyung yang dirakam berjoget di hadapan sebuah gerai air balang di Pengkalan Chepa, Kelantan, tular di media sosial pada Ahad
Menerusi video berdurasi 26 saat itu, lelaki tersebut yang mengenakan kostum berwarna terang dilihat menari dengan lincah.
Tindakan unik itu dipercayai dilakukan bagi tujuan menarik perhatian pelanggan sekali gus melariskan jualan minuman di gerai berkenaan.
Aksi berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan sebahagiannya menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan serta tidak sensitif terhadap kesucian bulan Ramadan.
Selain itu, perlakuan tersebut turut dianggap tidak menghormati norma dan nilai masyarakat setempat.

JAHEAIK giat mengesan lelaki terbabit bagi membantu siasatan
Bagaimanapun, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menegaskan pihaknya memandang serius isu tersebut. Jabatan berkenaan memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan bagi mengesan lelaki terbabit bagi membantu siasatan lanjut.
"Pihak kami sedang mengenal pasti individu berkenaan serta mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.
"Sebarang pelanggaran undang-undang syariah atau perbuatan tidak senonoh di tempat awam akan diambil tindakan sewajarnya," katanya kepada Sinar Harian.
Masyarakat dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan keresahan awam, terutama dalam bulan Ramadan yang menuntut umat Islam untuk sentiasa menjaga tingkah laku serta menghormati sensitiviti setempat.
Pada masa yang sama, timbul desakan daripada pelbagai pihak agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) segera menarik balik lesen perniagaan gerai berkenaan, selain mengenakan tindakan tegas terhadap individu terlibat.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



