Tular Video Bonceng Tiga Anak Ke Tempat Kerja, Rider Wanita Akhirnya Diberhentikan

Keputusan tersebut membuka lembaran baharu buatnya apabila diberikan peluang untuk memulakan perniagaan sendiri.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Founder Misi (Facebook)
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seorang wanita yang sebelum ini tular kerana gigih membawa tiga anak kecil ketika menjalankan tugas sebagai penghantar makanan, kini tidak lagi berkhidmat sebagai penunggang penghantaran selepas diberhentikan daripada tugasan itu

Namun, keputusan tersebut membuka lembaran baharu buatnya apabila diberikan peluang untuk memulakan perniagaan sendiri.

Perkara itu disahkan oleh pengasas aplikasi penghantaran Misi, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi, yang menjelaskan bahawa langkah tersebut dibuat selepas menilai keadaan dan keperluan wanita berkenaan.

"Saya terpaksa berhentikan ibu ni dari rider Misi dan set up (buat persiapan) barang berniaga A – Z sebab akak ini pernah berniaga sebelum ni,
" katanya menerusi hantaran di Facebook.

SAYS.com
Image via Founder Misi (Facebook)

Bantu sediakan  platform perniagaan dalam talian melalui aplikasi berkenaan

Menurut Nur Ahmad Faiz, pihak Misi akan terus membantu wanita berkenaan dengan menyediakan platform perniagaan dalam talian melalui aplikasi penghantaran itu bagi memudahkannya menjual produk kepada pelanggan di sekitar Melaka.

"Esok kita akan open order untuk orang Melaka order melalui aplikasi Misi. Install sekarang, esok saya update dalam frontpage Misi untuk semua pesanan," katanya.

Terdahulu, ibu muda berusia 23 tahun, Noryani Syakira Yaakob, mencuri perhatian ramai selepas gambarnya menunggang motosikal sambil membonceng tiga anak kecil termasuk seorang bayi ketika menghantar pesanan pelanggan tular di media sosial.

SAYS.com
Image via Founder Misi (Facebook)

Menurut Noryani Syakira, tindakannya membawa tiga anak kecil ketika menghantar pesanan bukan bertujuan meraih perhatian, sebaliknya dilakukan atas desakan hidup bagi membantu suami yang bekerja di bengkel dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan.

Bagaimanapun, tuah menyebelahi ibu muda itu apabila kisahnya tular dan mendapat perhatian masyarakat pelbagai kaum yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem turut menzahirkan rasa syukur serta terharu dengan sambutan luar biasa rakyat Malaysia terhadap usaha membantu wanita berkenaan selepas kisahnya dikongsikan di media sosial.

"Dalam pengetahuan saya, sumbangan tunai yang diterima lebih dari mencukupi. Adik 'rider' tu juga telah maklumkan perkara yang sama kepada sebuah media tempatan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyumbang.

"Angka (sumbangan) itu dah sampai hadnya pada pemahaman saya. Kalau nak sumbang juga, itu pilihan sendiri. Nanti kau orang jangan salahkan saya pula," katanya.

Lihat video di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik