Tular Dakwaan Corak Sejadah Ada Logo ‘Kepala Iblis’, Naelofar Tampil Beri Penjelasan
Difahamkan, corak sejadah itu dihasilkan sepenuhnya berdasarkan elemen seni dan motif hiasan biasa.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna mempersoalkan corak pada sejadah keluaran jenama Naelofar yang didakwa mempunyai imej tersembunyi menyerupai kepala kambing, simbol yang sering dikaitkan dengan amalan Baphomet dalam kepercayaan Satanism
Perkara itu mula menjadi perbualan selepas individu tersebut memuat naik hantaran di platform Threads dan bertanya kepada pelanggan lain sama ada mereka turut menemui corak sama pada sejadah yang dibeli.
Menurutnya, apabila diperhatikan dengan lebih teliti, corak pada sejadah berkenaan seolah-olah membentuk imej kepala kambing yang didakwa sebagai logo halus tersembunyi.

Hantaran tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. Ada yang turut cuba meneliti corak sejadah tersebut, manakala sebahagian lagi berpendapat ia mungkin sekadar kebetulan hasil daripada susunan motif rekaan.
Seorang pengguna turut menjelaskan bahawa perkara seperti itu boleh berlaku secara tidak sengaja ketika proses menghasilkan corak yang kompleks, terutama apabila motif disusun secara simetri atau berulang.
Susulan itu, pihak Naelofar tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut dan menafikan bahawa terdapat simbol berkaitan amalan pemujaan syaitan pada produk mereka
Menurut mereka, rekaan sejadah tersebut dihasilkan sepenuhnya berdasarkan elemen seni dan motif hiasan biasa tanpa sebarang niat atau unsur tersembunyi seperti yang didakwa.
Penjelasan itu dibuat bagi meredakan kekeliruan dalam kalangan pelanggan serta menegaskan bahawa dakwaan yang tular di media sosial tersebut adalah tidak berasas.



Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 