Tujuh Pemuda Jadi Hero Selamatkan Tiga Beranak Dari Kereta Tenggelam Di Tasik Biru Kundang
Difahamkan, punca kejadian masih belum dapat dipastikan.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sekumpulan pemuda bertindak pantas untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam sebuah kereta yang terjunam ke dalam Tasik Biru Kundang di Rawang, Selangor
Dilaporkan oleh Kosmo, perkara ini terjadi di Tasik Biru Kundang, di mana sebuah kereta X50 yang dipandu oleh wanita berusia 40-an bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia tiga dan enam tahun berjaya diselamatkan.
Kejadian berlaku pada pukul 12 tengah malam dimana seorang pemuda dengan nama Mohamad Fahmi Ismail, 33, mengatakan dia sedang menikmati juadah moreh sebelum dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp komuniti.
Dia bersama rakan-rakan terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum keadaan bertukar panik.
Keadaan bertukar menjadi panik apabila jeritan dan tangisan kanak-kanak kedengaran
"Bila saya dengar kanak-kanak tu menjerit, terus terbayangkan dua anak saya. Mula-mula takut juga, tapi saya beranikan diri ketepikan rasa takut terjun terus ke dalam tasik berkenaan." katanya.
Ketika itu, seramai tujuh orang cuba menyelamatkan mangsa dan mereka menggunakan teknik panjangkan tangan. Ada juga yang hampir lemas ketika misi menyelemat.

"Ketika saya tiba sudah ada pemuda-pemuda lain, termasuk saya seramai tujuh orang cuba selamatkan mangsa. Kami guna teknik panjangkan tangan. Walaupun begitu, ada juga di antara kami hampir lemas ketika nak selamatkan mangsa," tambahnya lagi.
Dalam tempoh 15 minit mereka telah berjaya menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak berkenaan tetapi ibu mereka dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ibu kepada dua anak tersebut telah cuba untuk menyelamatkan anak-anaknya dengan membuka bumbung suria kereta dalam keadaan gelap.
"Si ibu, dia yang hampir tenggelam cuba nak selamatkan anak-anak. Nasib baik sunroof kereta terbuka. Jadi boleh keluarkan dari atas. Dengan keadaan gelap-gelita. Kayu ke ranting langsung tak ada." ujar Fahmi.

Menurut Fahmi, mangsa difahamkan telah menyewa di Kampung Setia, Kuang tetapi tidak dapat dipastikan punca kejadian sebenar kemalangan itu berlaku.
Dia juga mengatakan kawasan itu setiap tahun sudah pasti akan berlaku kemalangan kereta terbabas ke dalam Tasik Biru disebabkan tiada besi penghadang di sekeliling tasik berkenaan.
"Tasik Biru dalam kalangan orang kampung memang keras dari berzaman ke zaman. Asalnya dulu tempat lombong timah. Dulu ada besi penghadang, sekarang dah tak ada," tambah Fahmi.
Fahmi juga mengatakan ketika awal kejadian tiada langsung orang yang perasan kereta itu terbabas masuk ke tasik dan orang ramai ada di situ, tetapi disangka satu penggambaran sedang dibuat.
Untuk rekod, Tasik Biru merupakan tasik yang asalnya merupakan tempat untuk melombong timah. Difahamkan, ketiga-tiga beranak kini selamat dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



