Tragedi Gunung Liang: Dua Malim Gunung Kini Digantung Tugas Sementara Waktu

Persekitaran gunung sememangnya berisiko tinggi dan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Berita Harian & Suara Merdeka
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menggantung sementara tugas dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terlibat dalam Ekspedisi Trans Temangkok Gunung Liang di Tanjung Malim, Perak, minggu lalu

Menerusi laporan Berita Harian, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada siasatan menyeluruh yang sedang dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pendaki, Mustaqqeem Mansor, 34, yang ditemukan tidak bernyawa di puncak Gunung Liang Barat.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Mohd Yussainy Md Yusop, memaklumkan bahawa pertemuan awal telah diadakan bersama dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terbabit dalam ekspedisi tersebut kelmarin, dan laporan lengkap akan dibentangkan kepada Ketua Pengarah Perhutanan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, semua pihak yang terlibat termasuk pendaki, penganjur dan dua MGP yang mengiringi kumpulan sembilan pendaki berkenaan akan dipanggil bagi memberi keterangan sebelum sebarang keputusan diambil.

"Tindakan itu perlu bagi memastikan setiap pihak diberi peluang memberi penjelasan dan bagi mengelak sebarang prejudis terhadap mana-mana individu terbabit dalam kejadian itu.

"Jadi, kita memutuskan menggantung sementara tugas dua MGP terbabit bagi memberi kerjasama kepada pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta jabatan perhutanan melakukan siasatan secara menyeluruh,"
katanya.

SAYS.com
Image via Berita Harian

Lebih 200 kes kecemasan pendakian dilaporkan berlaku setiap tahun

Mohd Yussainy Md Yusop yang juga Pengerusi Malim Gunung Perhutanan (MGP) Malaysia berkata, lebih 200 kes kecemasan pendakian dilaporkan setiap tahun di seluruh negara dengan purata antara 10 hingga 11 kes kematian, namun hanya satu atau dua kes membabitkan malim gunung aktif.

Beliau menjelaskan, kebanyakan insiden berpunca daripada pendakian tanpa permit sah, kurang persediaan fizikal, serta trend baharu aktiviti ekstrem seperti mendaki dan berlari di laluan gunung pada waktu malam.

Katanya, persekitaran gunung sememangnya berisiko tinggi dan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Bagaimanapun banyak kes berlaku disebabkan pendaki tidak mengikut prosedur seperti tidak mohon permit memasuki hutan simpan, selain cuba ubah jadual asal mendaki.

"Bagi kes ini, selepas siasatan selesai jabatan akan menilai semula keseluruhan prosedur keselamatan, termasuk penggunaan teknologi pengesanan atau cip lokasi bagi memperkukuh sistem pemantauan di laluan gunung berisiko tinggi.

"Kita akan tengok dari aspek pengurusan risiko, kelemahan, prosedur dan pelanggaran peraturan yang mungkin berlaku. Semua akan dijadikan asas bagi tindakan pembetulan dan penambahbaikan pada peringkat jabatan.

"Langkah ini penting bagi menyelesaikan isu sistemik, bukan sekadar mencari kesalahan individu, selain memastikan tragedi ini tidak berulang," katanya.

SAYS.com
Image via Berita Harian

Dalam kejadian pada 10 Oktober lalu, seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor, dilaporkan bersama lapan rakannya memulakan ekspedisi ke Gunung Liang melalui laluan Bukit Fraser, Bentong.

Bagaimanapun, Mustaqqeem tidak pulang selepas tamat aktiviti pendakian, mendorong isterinya membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan penyertaan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Selepas beberapa hari operasi dijalankan dalam keadaan mencabar, mayat Mustaqqeem akhirnya ditemui sekitar jam 3.30 petang di puncak Gunung Liang, sekali gus menamatkan penantian penuh harapan keluarga dan rakan pendaki lain.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: