‘Tidur Lambak’ Cetus Kontroversi, Mufti Perak Bimbang Risiko Ikhtilat & Undang Fitnah
Difahamkan, program itu berlangsung selama dua hari dan mengetengahkan konsep tidur beramai-ramai secara santai.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Satu acara santai berkonsepkan tidur beramai-ramai yang dikenali sebagai 'Tidur Lambak' kini menjadi perhatian selepas mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa agama
Terbaharu, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) tampil bersuara mengenai penganjuran program tersebut yang dilihat berpotensi mengundang isu bercanggah dengan hukum syarak.
Menurut laporan Berita Harian, program yang dianjurkan oleh Tapir Studio itu berlangsung selama dua hari dan mengetengahkan konsep tidur beramai-ramai secara santai.
Ia diinspirasikan daripada budaya masyarakat Malaysia, khususnya suasana pulang ke kampung, di mana ahli keluarga berkumpul, berborak dan tidur bersama dalam satu ruang.

Selain itu, acara tersebut juga bertujuan untuk:
- Menghidupkan semula elemen nostalgia tradisional
- Memberi pengalaman sosial yang santai dan artistik
- Menggalakkan interaksi dalam komuniti
Mufti Perak bimbang berlaku ikhtilat secara terbuka

Walaupun tidak menolak sepenuhnya penganjuran aktiviti tersebut, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) menegaskan beberapa aspek perlu diberi perhatian serius.
Antara kebimbangan utama adalah kemungkinan berlakunya ikhtilat, iaitu percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa batasan yang jelas.
Menurut kenyataan itu, situasi seperti ini boleh membuka ruang kepada kesukaran menjaga pandangan, aurat yang mungkin terdedah atau sentuhan antara bukan mahram.
Kesemua perkara ini dikhuatiri boleh membawa kepada unsur yang bercanggah dengan syarak.
Aktiviti tak salah, tapi kena ikut garis panduan

JMNPk turut menjelaskan bahawa aktiviti rekreasi atau berunsur nostalgia bukanlah dilarang dalam Islam. Namun, pelaksanaannya perlu selaras dengan hukum syarak, mengambil kira nilai budaya tempatan dan menjaga maruah serta akhlak masyarakat.
Malah, pihak mufti mengingatkan bahawa sebarang program seumpama ini berpotensi mengundang fitnah terhadap Islam jika tidak dikawal dengan baik.
Sehubungan itu, JMNPk menasihatkan penganjur agar memperhalusi semula konsep dan pelaksanaan acara dan merujuk kepada jabatan mufti atau jabatan agama Islam negeri.
Langkah ini penting bagi memastikan objektif program tercapai tanpa menimbulkan isu sensitif dalam masyarakat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 