Taksub Dengan Wang Insurans, Wanita Berpakat Bersama Teman Lelaki Cuba Bunuh Suami
Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Keinginan mengaut wang tuntutan insurans dipercayai menjadi motif utama tindakan nekad seorang wanita bersubahat dengan teman lelakinya dalam satu cubaan membunuh suaminya sendiri di Taman Ehsan Jaya, Johor
Menurut kenyataan media, Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Bin Ishak memaklumkan bahawa kejadian ngeri itu berlaku pada 22 Disember 2025 ketika mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, sedang nyenyak tidur.
Hasil siasatan mendapati suspek wanita telah membenarkan teman lelakinya masuk ke dalam rumah mereka.
Ketika mangsa sedang tidur, suspek wanita bertindak memegang kaki suaminya bagi membolehkan teman lelakinya menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga mangsa mengalami kesukaran bernafas.
Walau bagaimanapun, mangsa berjaya bergelut dan melepaskan diri, manakala suspek lelaki segera melarikan diri dari tempat kejadian pada hari tersebut.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Malaysia BagkitIsteri kerap bertanyakan mengenai jumlah perlindungan insurans
Siasatan lanjut pihak polis mendedahkan taktik licik suspek yang dipercayai didorong oleh faktor kewangan.
Seminggu sebelum kejadian, isteri mangsa dikesan kerap bertanyakan mengenai jumlah perlindungan insurans serta syarikat insurans yang dicarumkan oleh suaminya.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam telah berjaya menahan kedua-dua suspek pada 23 Disember 2025.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh orang. Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Kertas siasatan telah dilengkapkan dan kedua-dua suspek dijadualkan dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada pagi ini, 2 Januari 2026, untuk menghadapi pertuduhan rasmi.
Pihak polis turut menasihati orang ramai agar sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah melalui talian hotline IPD Seri Alam di 07-3864222 atau di balai polis berhampiran.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 