Tak Ada Tong Sampah Bukan Alasan, Buang Sembarangan Boleh Kena Denda & Khidmat Masyarakat
RUU itu diluluskan selepas dibahas 14 Ahli Parlimen.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang baru sahaja diluluskan di Dewan Rakyat pada Isnin memperkenalkan langkah baharu
Mahkamah kini diberi kuasa untuk mengenakan hukuman khidmat masyarakat kepada individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil di kawasan awam.
Menerusi laporan Bernama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberitahu perkara itu antara pindaan dalam RUU menerusi pewujudan Subseksyen 77(B)(1), yang memberi kuasa kepada mahkamah sebagai tambahan kepada hukuman denda bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam untuk melaksanakan perintah khidmat masyarakat.
"Saya perhatikan semua ahli Yang Berhormat minta kerajaan mengambil tindakan yang tegas dalam melaksanakan pindaan undang-undang ini.
"Maka saya nak minta kerjasama semua apabila KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) mengambil tindakan tegas terhadap ulat sampah, jangan ada Ahli Yang Berhormat pula menjadi jaguh untuk mempertahankan mereka yang membuang sampah merata tempat.
"Bila mahkamah menjatuhkan hukuman maka biarlah kita tegakkan keadilan sosial supaya tidak dipolitikkan atau dijadikan isu polemik," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via TV SarawakMatlamat utama untuk mendidik pesalah agar lebih peka dan bertanggungjawab
Namun begitu, Kor Ming menjelaskan bahawa di bawah pindaan RUU tersebut, mahkamah perlu menilai terlebih dahulu keadaan fizikal dan mental individu yang disabitkan kesalahan sebelum menetapkan tempoh pelaksanaan perintah khidmat masyarakat.
"Di bawah RUU ini, kerajaan tidak tetapkan tempoh minimum yang diperuntukkan (kerana) kita hormat doktrin pengasingan kuasa (tetapi) mahkamah mempunyai bidang kuasa dan budi bicara dalam menetapkan tempoh pelaksanaan khidmat masyarakat setelah mempertimbangkan faktor fizikal dan juga mental.
"Seperti yang dibangkitkan oleh (Ahli Parlimen) Rasah (Cha Kee Chin), (kes melibatkan) kanak-kanak autistik juga mahkamah mempunyai budi bicara, kita akan menilai keadaan kesihatan mental mereka, sama ada sesuai ataupun tidak, kita pulangkan kepada budi bicara mahkamah untuk menghalusi isu tersebut," katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Image via BernamaTambah beliau, beberapa strategi telah disusun bagi memperkasakan keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan penguatkuasaan akta termasuk untuk menambah bilangan pegawai penguat kuasa, melatih pegawai sedia ada dan baharu serta mempertimbangkan penggunaan teknologi moden.
Terdahulu, semasa membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua, Kor Ming berkata, hasrat utama kerajaan meminda Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] antaranya adalah untuk mendidik pesalah supaya lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran yang memberi manfaat kepada komuniti.
Antara matlamat utama kerajaan adalah untuk mendidik pesalah agar lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, demi kebaikan dan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 