Sultan Selangor Keluar Titah Tidak Perkenan Aktiviti Penternakan Babi Di Mana-Mana Daerah
Titah baginda, aktiviti tersebut boleh mengakibatkan pencemaran bau dan menjejaskan sumber air sungai.
Cover image via BernamaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ketidakberkenanan baginda terhadap aktiviti penternakan babi di mana-mana daerah di negeri Selangor
Baginda bertitah bahawa kegiatan tersebut mendatangkan masalah pencemaran udara melalui bau busuk serta menjejaskan kualiti sumber air sungai ekoran pembuangan najis dan sisa kumbahan.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa baginda menyokong pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menolak penternakan babi di kawasan bantahan penduduk atau yang boleh mencetuskan kontroversi.
Baginda menegaskan aktiviti berkenaan tidak perlu diteruskan sekiranya tiada lokasi bersesuaian, khususnya di Selangor.
"Sebagai contoh, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar di daerah Hulu Selangor yang juga kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan FELDA, pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.
"Ia juga boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Image via BernamaBoleh mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya
Mohamad Munir menyatakan bahawa meskipun kaedah penternakan moden mampu mengatasi pencemaran udara dan sungai, ia memerlukan kos perbelanjaan yang sangat besar.
Beliau menambah bahawa kemungkinan besar tiada mana-mana pihak mampu membiayai kos tersebut sekadar untuk tujuan membekalkan daging babi di negeri ini.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Harian Metro"Tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang. Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah terhad.
"Ini ditambah pula dengan faktor nilai hartanah tinggi yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Justeru, baginda menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor sahaja.
"Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama, kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan," katanya.
Sultan Selangor turut menegaskan agar isu penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan segera bagi mengelakkan keresahan serta menjaga keamanan masyarakat. Sehubungan itu, Mohamad Munir menyeru semua pihak menghormati titah baginda demi memelihara perpaduan dan keharmonian di negeri ini.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



