Suka Hati Main Cubit Pipi Seorang Wanita, Lelaki Warga Emas Di Perak Kena Denda RM2,500
Lelaki itu didakwa menyentuh pipi kiri wanita itu yang merupakan pekerja kedai runcit tersebut.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang warga emas dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Parit selepas mengaku bersalah atas perbuatan menyentuh serta mencubit pipi seorang wanita dalam kejadian di Perak Tengah, awal bulan ini
Menerusi laporan Bernama, majistret Nurul Izalina Rajaai turut memerintahkan tertuduh, Samsuri Kamaruddin, 63, menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal melunaskan bayaran denda berkenaan.
Beliau menasihatkan Samsuri untuk menjaga batasan termasuk dengan orang dikenali.
"Kita semua ada kenalan masing-masing, tapi perlu menjaga batas. Dengan sesiapa pun, kalau bukan mahram, tidak perlu sentuh-sentuh pipi, sentuh tangan.
"Perbuatan kamu bukan setakat menjatuhkan maruah mangsa tetapi juga ahli keluarga kamu," katanya.

Lelaki itu didakwa menyentuh pipi kiri wanita berkenaan
Samsuri Kamaruddin, 63, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 23 tahun dengan niat mencabul kehormatannya dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, 5 September lalu di sebuah kedai runcit di Simpang 4, Bota Kanan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati menyentuh pipi kiri mangsa, yang merupakan pekerja kedai runcit itu, sebanyak dua kali ketika mangsa sedang membuat kiraan di kaunter pembayaran.

Gambar sekadar hiasan.
Image via VocketMeskipun dimarahi, warga emas itu tetap meneruskan perbuatan dengan mencubit pipi mangsa, menyebabkan wanita berkenaan mengalami trauma serta berasa takut untuk kembali bekerja.
Peguam bela, Nurul Syuhada Mohd Yusof, merayu agar hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan, menanggung dua orang anak, selain isterinya yang menghidap penyakit jantung.
Pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri.
Tertuduh kemudiannya melunaskan bayaran denda yang dikenakan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 