SPRM: Bekas Panglima Tentera Darat & Dua Isteri Kini Direman Selama Tujuh Hari
Difahamkan, bekas pegawai tertinggi Tentera Darat itu direman selama tujuh hari.
Cover image via Sinar HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang bekas Panglima Tentera Darat bersama dua isterinya kini direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah yang didakwa melibatkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM)
Menurut laporan Sinar Harian, bekas pegawai tertinggi Tentera Darat itu direman selama tujuh hari bermula Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya. Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah reman terhadap isteri pertama suspek selama tiga hari, manakala isteri keduanya direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Peguam yang mewakili bekas Panglima Tentera Darat tersebut, Nizamuddin Hamid, memaklumkan bahawa pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

"Kami juga memohon kepada mahkamah agar anak guam saya diberi akses kepada peguam. Anak guam saya masih belum sihat sepenuhnya dan sedang dalam proses pemulihan," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan ketiga-tiga individu berkenaan ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 3 petang bagi memberi keterangan
Selain itu, SPRM turut mereman sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah syarikat selama tujuh hari bermula Rabu, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes sama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan berkenaan dan menegaskan orang ramai perlu menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Difahamkan, SPRM komited untuk melaksanakan siasatan secara telus dan profesional tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes kartel tender melibatkan TDM. Menurut SPRM, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia antara 20-an hingga 60-an, yang ditahan antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.


Hasil siasatan awal mendapati, semua pengarah syarikat terbabit disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat Malaysia sebagai balasan untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan yang melibatkan TDM.
SPRM sebelum ini memaklumkan bahawa bekas Panglima Tentera Darat berkenaan sepatutnya memberi keterangan pada 28 Disember 2024, namun gagal berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
Pada 23 Disember lalu, SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek perolehan Tentera Darat yang dilaksanakan sejak 2023. Pada 29 Disember, Azam Baki mengesahkan bahawa SPRM telah menyita enam akaun bank milik pegawai berkenaan serta ahli keluarganya bagi membantu siasatan.
Dua hari sebelum itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan bahawa Tan Sri Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap beliau selesai.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



