SK Putrajaya Presint 11(1) Dinobat Sebagai Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025, Terima AS$50,000
SK Putrajaya Presint 11(1) pastinya menjadi sumber inspirasi buat semua.
Cover image via Fadhlina Sidek (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat oleh T4 Education
Menerusi laporan Bernama, Kementerian Pendidikan, pengumuman berprestij itu dibuat menerusi siaran langsung pada Selasa dan turut disaksikan dalam satu perhimpunan khas anjuran bersama kementerian serta Yayasan Hasanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Majlis bersejarah itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang hadir menyaksikan pengumuman kemenangan tersebut bersama warga sekolah dan para hadirin.
"Diasaskan oleh T4 Education, Anugerah Sekolah Terbaik Dunia merupakan anugerah pendidikan paling berprestij dunia, mengiktiraf institusi yang memberi inspirasi kepada perubahan positif menerusi amalan inovasi yang boleh dicontohi sekolah lain di seluruh dunia.
"SK Putrajaya Presint 11(1) dinamakan sebagai pemenang dan menerima AS$50,000 (RM235,000)," katanya.

Kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) adalah hasil inisiatif membangunkan aplikasi mudah alih
T4 Education, sebuah badan pendidikan global berpangkalan di UK, menyediakan platform untuk sekolah di seluruh dunia berkongsi kejayaan serta inovasi mereka dengan misi meraikan sekolah yang mendorong perubahan, menampilkan amalan terbaik, dan memberi inspirasi kepada sistem pendidikan global untuk mencontohi model berkesan.
Sejak ditubuhkan pada 2022, T4 Education telah menonjolkan sekolah yang berjaya membawa impak besar kepada komuniti dalam aspek pendidikan, kesejahteraan pelajar, penyelesaian cabaran, serta inisiatif berkaitan alam sekitar.
Kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) kali ini adalah hasil inisiatif membangunkan aplikasi mudah alih HELPIE yang dilancarkan pada 2023.


Aplikasi tersebut dibangunkan khusus untuk meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan terhadap kesihatan mental murid. Digabungkan dengan kempen rakan sebaya di bilik darjah, usaha ini telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 1,000 murid sekolah berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Malaysia mempunyai rekod membanggakan dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia apabila pada 2022, SK Kempadang, Pahang dan SMK Kampong Jawa, Selangor disenarai pendek hasil pendekatan inovatif yang dihasilkan mereka.
"Tahun ini, SK Putrajaya Presint 11(1) meneruskan legasi ini dengan berdiri megah dalam kalangan 10 sekolah terbaik dunia," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan berprestij ini bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas pendidikan global, malah membuktikan sekolah mampu menjadi perintis penyelesaian kepada cabaran mendesak, termasuk isu kesihatan mental generasi muda.
Sebagai pemenang, tiga wakil sekolah berkenaan akan menghadiri Persidangan Sekolah Dunia 2025 yang bakal berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 13 hingga 20 November dengan tema "Kepimpinan untuk Dunia Lebih Baik." Persidangan itu akan menghimpunkan sekolah, pemimpin pendidikan, inovator dan pembuat dasar dari seluruh dunia.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



