Siti Nurhaliza Raih ‘Lifetime Achievement Award’ Di AFFIN INVIKTA Top 50 Women Of Excellence Awards 2025
Majlis itu turut mengiktiraf wanita cemerlang dalam pelbagai bidang seperti kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima anugerah khas Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top50 Women of Excellence Awards 2025 baru-baru ini
Anugerah berkenaan seiring dengan kejayaan figura itu yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan profesional sebagai anak seni dan usahawan, tetapi turut memberikan inspirasi kepada generasi masa depan.
"Saya bersyukur dan berterima kasih atas anugerah ini … saya harap pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana kerana wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur, tetapi juga berada di barisan hadapan," katanya pada majlis berprestij itu.

AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards menjadi antara platform nasional paling berpengaruh yang menghargai wanita berprestasi tinggi yang menyumbang kepada kemajuan negara dan reputasi Malaysia di persada global.
Sementara itu, pasangan beregu badminton wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah yang melakar kejayaan di pentas antarabangsa, menerima Rising Star Award yang merupakan kategori baharu diperkenalkan pada tahun ini.
AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards turut mengiktiraf wanita cemerlang daripada pelbagai sektor termasuk kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni
Proses penjurian dilaksanakan dalam tiga peringkat melibatkan pemilihan 300 calon dalam senarai pendek oleh panel audit sebelum mereka mengenal pasti 50 terbaik untuk diumumkan pada majlis anugerah itu.
Daripada lebih 300 pencalonan diterima tahun ini, antara penerima anugerah yang menjadi tumpuan termasuk:
• Tan Sri Michelle Yeoh, Pemenang Anugerah Academy
• Tan Sri Rafidah Aziz, Bekas Menteri MITI
• Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Bekas Gabenor Bank Negara
• Tan Hooi Ling, Pengasas Bersama Grab
• Y.A.M Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah
• Dato' Sheila Majid, Ikon Muzik
• Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Artis & Usahawan
• Pandelela Rinong, Olimpian
• Dr. Amalina Bakri, Pakar Bedah & Advokat Kesihatan
• Tan Sri Dato' Seri Dr. Robaayah Zambahari, Tokoh Perubatan
Pengasas dan Pengarah Urusan TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin berkata, anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu usaha untuk mengangkat peranan wanita dalam membentuk masa depan negara.
"Anugerah ini selaras dengan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030, menyokong komitmen Malaysia untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, perkasa dan progresif," katanya.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, penganjuran acara itu juga selari dengan komitmen syarikat perbankan berkenaan terhadap Responsible Banking with Impact, berteraskan Pelan Strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28).
"Kami berbangga mengiktiraf 50 wanita luar biasa, hebat dan mengagumkan, setiap mereka merupakan simbol kekuatan, inspirasi dan kepimpinan.
"Sambutan ini berlangsung pada saat penting bagi Malaysia kerana kepimpinan wanita terus meningkat. Wanita kini memegang 33.1 peratus kerusi lembaga pengarah dalam 100 syarikat tersenarai awam dan 28 peratus di semua syarikat tersenarai, sekali gus memperkukuh tadbir urus dan membentuk hala tuju korporat," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



