Siang Cari Rezeki Malam Temani Sunyi Kubur, Lelaki Dedah Pernah Dengar Bayi & Orang Tua Menangis
Dia mula bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di tanah perkuburan berkenaan sejak dua tahun lalu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bagi Muhammad Fazli Helmi, 24, atau lebih mesra disapa Fazz, bekerja sebagai pengawal keselamatan di tanah perkuburan memerlukan kekuatan mental yang tinggi
Walaupun pada mulanya diselubungi rasa gerun, pemuda ini memilih untuk menjadikan pekerjaan tersebut sebagai sumber pendapatan sampingannya.
Mengimbas kembali pengalamannya, Fazz menceritakan kepada Harian Metro bahawa bekerja di tengah keheningan malam bukanlah sesuatu yang mudah pada peringkat awal.
"Pada awalnya memang ada perasaan takut terutama ketika bekerja syif malam kerana suasana tanah perkuburan yang sunyi dan gelap.
"Lama kelamaan, saya dapat biasakan diri malah keberanian dan perasaan tenang datang kerana selalu ingatkan diri kerja dilakukan ini halal dan lebih mengingatkan diri saya dengan kematian," katanya.
Apa yang lebih mengagumkan, dalam kesibukan menggalas dua pekerjaan, Fazz juga merupakan seorang sukarelawan pengurusan jenazah di bawah Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianBuat kerja lebih kerana mahu ringankan beban keluarga dan kumpul wang untuk kos perubatan ibunya
Di sebalik keberanian Fazz menjaga tanah perkuburan pada waktu malam, tersimpan sebuah pengorbanan besar buat keluarganya di Taman Medan.
Pemuda ini mendedahkan bahawa dia bekerja sambilan di situ sejak dua tahun lalu demi menampung kos perubatan ibunya, Roba'ayah Idris, 57.
"Sebenarnya, hari pertama kerja lagi saya sudah terkena gangguan sampai nak demam kerana 'ditindih' hingga tak bernafas selepas terlelap.
"Ikutkan, hari kedua berat nak datang kerja kerana macam tak larat tapi memandangkan keadaan emak yang ada asma dan perlukan ubat mencecah RM480 sebulan, saya kuatkan diri untuk bekerja.
"Ayah (Mohd Razali Mohd Zin, 66,) pun sudah bersara jadi saya rasa bertanggungjawab untuk bantu ringankan beban keluarga. Lagipun, nak dapat kerja bukan senang dan saya fikir kena cari duit untuk bayar komitmen bulanan," katanya.
Pernah terdengar suara bayi dan lelaki tua menangis dari arah kubur kira-kira jam 3 pagi
Anak keempat daripada enam beradik ini berkongsi bahawa tugasnya di tanah perkuburan bermula dari jam 8 malam sehingga 8 pagi.
Sepanjang tempoh 12 jam tersebut, Fazz bertanggungjawab melakukan rondaan serta pemantauan kawasan secara bergilir-gilir bersama rakan setugas bagi memastikan keselamatan di situ terjaga.
"Setakat dua tahun ini, semuanya okay dan saya sudah dapat biasakan diri namun kepuasannya adalah apabila dapat menjalankan amanah iaitu menjaga kawasan perkuburan seperti yang dipertanggungjawabkan.
"Selain meronda dan buat pemantauan, saya juga pernah bantu tangkap ular dan ingatkan waris supaya berhati-hati sekali gus menjaga keselamatan mereka.
"Pernah juga kerja seorang pada malam raya dan selain ditindih, saya juga pernah terdengar suara bayi dan lelaki tua menangis dari arah kubur kira-kira jam 3 pagi.
"Seingat saya, kejadian itu berlaku September lalu ketika rakan setugas berehat sekejap di dalam kereta dan saya yakin bunyi didengar itu datang daripada kawasan perkuburan, bukannya perumahan penduduk berhampiran," katanya yang memiliki sijil dalam pengajian minyak dan gas.

Walaupun keluarga memberi sokongan padu, Fazz mengakui pernah diperlekehkan segelintir individu yang memandang rendah pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan.
"Saya pernah luahkan hasrat nak beli sebuah kereta tapi individu itu kata jangan harap dapat membelinya namun saya bersyukur kerana dapat membeli kenderaan dengan hasil titik peluh sendiri.
"Saya bersyukur dengan rezeki Allah SWT beri kerana ada tiga pekerjaan sekarang termasuk kerja fardu kifayah iaitu pengurusan jenazah percuma bagi khidmat memandikan, mengkafankan, pengambilan dan penghantaran jenazah.
"Walaupun takut waktu nak uruskan jenazah mula-mula dulu, perasaan itu lama kelamaan hilang malah semakin minat dan seronok dapat bantu waris uruskan jenazah sambil kumpul pahala.
"Puas sebenarnya kerana bukan semua orang berpeluang buat kerja pengurusan jenazah dan sekurang-kurangnya, saya dapat belajar sebab satu hari nanti, mungkin ada ahli keluarga akan meninggal dunia jadi waktu itu, sudah tahu bagaimana nak uruskan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 