Seniwati Legenda Maria Menado Meninggal Dunia Pada Usia 94 Tahun
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dunia seni tanah air hari ini diselubungi duka apabila seniwati legenda, Datuk Seri Maria Menado, dilaporkan meninggal dunia pada jam 12.25 tengah hari di sebuah pusat perubatan swasta

Menurut laporan Sinar Harian, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun akibat sakit tua, dalam keadaan tenang di sisi ahli keluarga terdekat.
Perkara itu disahkan oleh menantu Allahyarhamah, Sairul Amar Ayob, yang memaklumkan bahawa ibu mentuanya sebelum ini telah dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak 14 April lalu bagi menerima rawatan.
"Allahyarhamah Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang," katanya.
Menurut beliau, jenazah Allahyarhamah masih berada di hospital dan akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor bagi memberi ruang kepada ahli keluarga, sahabat serta kenalan untuk memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah seterusnya akan dibawa ke Masjid Umar Al-Khattab untuk urusan pengurusan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dilahirkan dengan nama asal Liesbet Dotulong pada 2 Februari 1932 di Minahasa, Allahyarhamah merupakan antara pelakon wanita paling berpengaruh dalam era kegemilangan perfileman Melayu sekitar tahun 1950-an hingga awal 1960-an
Difahamkan, kerjaya seninya bermula selepas berhijrah ke Singapura apabila menyertai Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film Productions, sebelum muncul sebagai bintang utama dalam pelbagai filem ikonik pada ketika itu.
Nama Maria Menado terus terpahat dalam sejarah industri perfileman menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Pontianak (1957), yang dianggap antara karya terawal dalam genre seram Melayu serta melonjakkan beliau sebagai ikon genre tersebut.
Sepanjang kemuncak kerjayanya, Allahyarhamah turut menerima pengiktirafan antarabangsa, termasuk gelaran Wanita Terjelita Malaya oleh Times Magazine serta Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara oleh United Press International.
Pemergian beliau sudah tentu meninggalkan kehilangan besar kepada industri seni tanah air, khususnya dalam sejarah perfileman Melayu yang pernah menyaksikan kegemilangannya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 