Senarai Drama TV3 & Tonton Wajib Tengok Sepanjang Ramadan Raya 2026
Jwanjih tengok tau?
Cover image via TV3 MalaysiaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ramadan dan Syawal 2026 ini bakal menjadi musim air mata, pengkhianatan dan dosa cinta di TV3 dan Tonton menerusi RR 2026: Jwanjih Drama

Dari hubungan terlarang, anak angkat memberontak, hinggalah rahsia keluarga elit, ini antara drama yang bakal buat penonton tak sabar tunggu episod seterusnya:
1. Khianat Yang Terpilih (AKASIA – 30 Episod)

Sinopsis:
Cinta pertama Ali (Ben Amir) dan Asmida (Puteri Aishah) yang terputus sejak zaman universiti kembali bertaut secara tidak sengaja selepas masing-masing membina kehidupan sendiri. Ali kini berkahwin dengan Waheeda (Amyra Rosli) dan mempunyai seorang anak istimewa, Afeeya (Falisha Naira), manakala Asmida hidup dalam perkahwinan tanpa cinta bersama Fahim (Ikmal Amry).
Pertemuan semula mereka bermula apabila Ali mengambil alih peranan menjaga Afeeya dan mendaftarkannya di sekolah tempat Asmida mengajar.
Hubungan yang bermula dengan simpati dan nostalgia perlahan-lahan berubah menjadi hubungan terlarang, walaupun kedua-duanya masih berstatus suami isteri. Kebenaran akhirnya terbongkar, menghancurkan kepercayaan Waheeda dan melukakan Fahim yang selama ini setia mencintai Asmida. Konflik memuncak apabila kedua-dua perkahwinan runtuh, dan Asmida berdepan kehilangan besar yang mengubah hala hidupnya.
Mulai: 26 Februari 2026, Isnin hingga Jumaat, 6.58 petang
Dibintangi oleh: Amyra Rosli, Ben Amir, Ikmal Amry, Puteri Aishah
2. Anugerah Tanpa Cahaya (Tonton Original – 10 Episod)

Sinopsis:
Bahar (Azhan Rani) dan Tijah (Amyza Aznan) membesarkan Husna, seorang bayi yang ditemui di luar rumah mereka, lalu dijadikan anak angkat dengan sepenuh kasih sayang. Namun di sebalik kebahagiaan itu, timbul keresahan dalam diri Tijah apabila Bahar terlalu memanjakan Husna dan menuruti segala kehendaknya.
Apabila meningkat remaja, Husna (Puteri Balqis) mula memberontak. Dia sering ponteng sekolah, menipu, mencuri, dan pada masa yang sama, mengimpikan kehidupan mewah. Dia akhirnya melarikan diri dari rumah dan terjerumus ke dalam hubungan dengan Zafran (Hafeez Mikail), seorang lelaki lebih berusia yang mempunyai sisi gelap. Terpengaruh dengan dunianya, Husna semakin jauh daripada keluarga.
Husna semakin menolak jauh Bahar dan Tijah, menyangkal asal-usulnya dan memilih cita-cita serta kemewahan berbanding keluarga. Pilihan hidupnya mula membawanya ke dalam bahaya, lalu menguji ikatan kasih antara ibu bapa dan anak.
Mulai: 16 Mac 2026, Isnin & Selasa, 12.00 tengah malam
Dibintangi oleh: Puteri Balqis, Azhan Rani, Amyza Aznan, Zairi Aziz & Hafeez Mikail
3. Kerana Cinta Itu Dusta (SAMARINDA – 30 Episod)

Sinopsis:
Orked (Emma Maembong) dan Sufian (Jazmy Juma) bermula sebagai pasangan biasa yang membina perniagaan dari rumah sebelum berjaya muncul sebagai pasangan influencer dikenali ramai. Kejayaan itu banyak digerakkan oleh kebijaksanaan bisnes Orked, dengan sokongan Sufian di belakang tabir. Namun, populariti tidak menjamin kebahagiaan Orked yang semakin menyerlah dan berpengaruh, sementara Sufian perlahan-lahan merasa tersisih.
Dalam kekosongan itu, Sufian menjalin hubungan sulit dengan Seri (Azira Shafinaz), sahabat rapat Orked. Seri bukan sekadar kawan, malah pernah diselamatkan Orked daripada hubungan perkahwinan yang toksik dan tinggal bersama Orked ketika cuba membina semula hidupnya. Pengkhianatan ini berlaku secara senyap, mengkhianati kepercayaan, persahabatan dan rumah yang pernah menjadi tempat perlindungan.
Pengkhianatan itu akhirnya meruntuhkan bukan sahaja sebuah perkahwinan, tetapi juga ikatan persahabatan yang dibina atas kepercayaan. Di tengah sorotan awam dan luka yang belum sembuh, Orked terpaksa memilih antara mempertahankan maruahnya atau terus berdiam demi ketenangan yang kian rapuh.
Mulai: 25 Februari 2026, Isnin hingga Jumaat, 10.00 malam
Dibintangi oleh: Jazmy Juma, Azira Shafinaz, Emma Maembong & Nazrief Nazri
4. Bila Cinta Menjadi Dosa (LESTARY – 30 Episod)

Sinopsis:
Zhafran (Zairi Aziz) pulang ke tanah air selepas meninggalkan kisah silam yang pahit, disambut oleh keluarganya, Dato' Yusof (Zamarul Hisham) dan Datin Kalsum (Maria Farida). Namun kepulangan itu menjadi titik mula kepada rahsia besar yang selama ini tersembunyi.
Kemunculan Eva (Sarimah Ibrahim), wanita yang mengaku mempunyai hubungan sulit dengan Dato' Yusof, mencetuskan ketegangan dalam keluarga. Tuntutan Eva menggugat kepercayaan, menguji kesetiaan dan membuka ruang manipulasi yang semakin sukar dikawal.
Dalam kekalutan itu, Nurul Yasmeen (Alya Iman) bekas kekasih Zhafran, kembali hadir dalam hidupnya melalui dunia korporat sebagai sekretari Dato' Yusof. Pertemuan semula ini menghidupkan luka lama, memaksa mereka berdepan perasaan yang belum terlerai.
Di kampung, Nurul Nadira (Nelissa Nizam) dan neneknya hidup dalam konflik harta pusaka yang ingin digadai oleh Neneknya demi kepentingan wang dan diri sedangkan Nadira terlalu sayangkan satu-satunya warisan arwah ibu dan ayah.
Konflik keluarga, tanggungjawab, dan tekanan masa lalu saling bersilang, menjerat setiap watak dalam permainan emosi yang penuh helah. Setiap keputusan membawa akibat, dan kebenaran yang tersembunyi menunggu masa untuk terbongkar.
Mulai: 27 Februari 2026, Jumaat hingga Ahad, 9.00 Malam
Haa, kepada semua kaki drama tu, jangan lupa tonton semua drama di atas Ramadan nanti, 'Jwanjih'?
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



