Sekumpulan Mat Rempit Didakwa ‘Protes’ Syarat Lesen Memandu Jadi Syarat Dapat Subsidi RON95
Video tersebut secara sinis menyorot stereotaip bahawa sebahagian besar dalam kelompok rempit menunggang motosikal tanpa memiliki lesen yang sah.
Cover image via TikTokFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah video di platform TikTok kini tular selepas secara bersahaja mengaitkan budaya rempit dengan pengumuman terbaharu kerajaan berhubung pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95
Rakaman yang diambil pada waktu malam di sebuah stesen minyak itu memperlihatkan sekumpulan anak muda menaiki motosikal kapcai sambil melakukan aksi wheelie serta mengundang bunyi bising dengan deruman enjin.
Sekilas pandang, ia kelihatan seperti perhimpunan rutin penunggang aksi jalanan pada lewat malam.
Namun, yang menarik perhatian adalah kreativiti pencipta video tersebut yang menyelitkan tajuk berita daripada Newswav berkaitan pengumuman subsidi berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Di bahagian bawah video tersebut, tertera sebaris teks sinis dalam Bahasa Melayu yang berbunyi, "Kenapa Rempit Protest?", sekali gus menimbulkan nada sindiran terhadap gelagat penunggang terbabit.

Video berkenaan secara sinis mempermainkan stereotaip bahawa sebahagian besar dalam kelompok rempit menunggang motosikal tanpa lesen sah
Ia sekali gus tidak layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter di bawah peraturan baharu.
Meskipun video itu hanya bersifat gurauan, reaksi dalam talian memperlihatkan nada tegas, dengan ramai pengguna menjadikannya wadah untuk meluahkan rasa tidak puas hati.
Seorang pengguna Reddit menegaskan bagaimana maklumat palsu sudah mula tersebar: "Ada hantaran komuniti oleh Awani di YouTube hari ini mengenai kerajaan yang menyatakan pemegang lesen tamat tempoh lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi… namun ruangan komen penuh dengan tuduhan kononnya kerajaan mahu menyusahkan rakyat. Di mana logiknya?"
Selain itu, ada juga yang mengkritik secara langsung budaya rempit, antaranya dengan kenyataan: "Rempit bangga jadi rempit. Saya memang tak boleh terima,", "Tak ada duit nak perbaharui lesen, tapi ada duit ubah suai motor," dan "Macam penjenayah marah pada pihak berkuasa."
Ada pula yang memperlekeh sikap berlagak, sambil menulis: "Ramai daripada mereka betul-betul fikir diri hebat, macam geng Harley Davidson di AS. Bezanya, mereka hanya tunggang motor kecil yang bunyinya macam nyamuk, tapi lagak seperti budak-budak."
Tidak kurang juga yang lantang menyuarakan pandangan agar tindakan tegas diambil, menyeru pihak berkuasa supaya "tangkap semua sekali" kerana mereka secara terbuka mengaku menunggang tanpa lesen.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



