Sekolah Agama Menengah Bestari Jadi Sekolah Pertama Di Malaysia Ada Kiosk Anti-Buli Digital!
Bagus inisiatif ini!
Cover image via Sinar BestariFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini, Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMB) Subang Jaya mencipta sejarah apabila menjadi sekolah pertama di Malaysia yang memperkenalkan Kiosk Anti-Buli Digital, hasil inovasi anak tempatan di bawah StudentQR oleh Jaxer Digital Sdn. Bhd.
Menurut laporan Sinar Bestari, Kiosk berteknologi tinggi itu dibangunkan khas untuk membanteras budaya buli di sekolah. Para pelajar kini boleh membuat laporan insiden secara terus melalui imbasan kod QR dan pengecaman wajah (face recognition).
Yang menariknya, setiap laporan dihantar terus kepada guru dan pentadbir sekolah secara masa sebenar (real-time), malah ibu bapa turut menerima notifikasi yang sama supaya semua pihak tahu dan boleh bertindak segera.
Teknologi bantu pelajar lebih berani bersuara

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif StudentQR, Syed Huzaifah Syed Omar, projek tersebut membuktikan bahawa teknologi mampu memainkan peranan penting dalam mewujudkan sekolah yang lebih selamat dan beretika.
"Masalah buli bukan perkara baharu, tetapi pendekatan untuk menanganinya mesti seiring dengan kemajuan masa. Dengan sistem antibuli ini, pelajar kini berani bersuara kerana salurannya lebih mudah dan selamat," katanya.
Lebih menarik lagi, sistem itu ditawarkan secara percuma kepada semua sekolah kerajaan di Malaysia menerusi geran Cradle Fund di bawah Kementerian Kewangan Malaysia supaya lebih ramai pelajar dan guru dapat manfaat daripadanya.
Bukan sekadar anti-buli, tapi lengkap dengan sistem kehadiran & sahsiah
Selain fungsi laporan buli, Kiosk Anti-Buli Digital ini turut dilengkapi dengan:
✅ Modul kehadiran harian pelajar
✅ Pemantauan kehadiran guru
✅ Penilaian sahsiah pelajar
Semuanya dalam satu ekosistem lengkap untuk membantu sekolah pantau disiplin dan keselamatan dengan lebih efisien.

AI bantu kesan corak buli dari awal
StudentQR juga menggunakan analisis tingkah laku berasaskan AI untuk membantu guru mengesan corak perlakuan buli seawal mungkin. Ekoran itu, tindakan boleh diambil dengan pantas sama ada diuruskan oleh pihak sekolah atau dirujuk kepada pihak berkuasa.
"Kami percaya apabila pelajar berasa dilindungi, mereka akan lebih berani bersuara dan fokus kepada pelajaran," tambahnya.
Sebelum ini, StudentQR dikenali dengan sistem pengurusan kehadiran dan sahsiah pelajar berasaskan QR yang sudah digunakan oleh lebih 1.2 juta pelajar termasuk dari Jepun, Indonesia dan Australia.
Pelancaran Kiosk Anti-Buli ini sekali lagi membuktikan komitmen StudentQR untuk menjadi peneraju teknologi pendidikan (EdTech) tempatan yang menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Mana-mana sekolah yang berminat untuk menerapkan sistem ini boleh layari www.studentqr.com atau hubungi pasukan StudentQR untuk sesi demonstrasi dan pendaftaran awal.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



