Sebulan Ditinggalkan Tanpa Berita, Pengasuh Nekad Ambil Kanak-Kanak Lelaki Jadi Anak Angkat
MashaAllah, besar pahala akak ni.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Hati siapa yang tidak tersentuh melihat nasib seorang kanak-kanak kecil yang ditinggalkan tanpa khabar oleh ibu kandungnya
Itulah situasi yang dilalui seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang bernama Rayyan, apabila tidak dijemput pulang oleh ibunya selepas dihantar kepada seorang pengasuh di Puchong.
Menurut laporan Malaysiakini, pengasuh yang hanya mahu dikenali sebagai Dayang, pada awalnya dihubungi ibu kepada kanak-kanak itu menerusi WhatsApp untuk mendapatkan khidmat penjagaan sepenuh masa dengan bayaran RM800 sebulan.
Walaupun syarat ditetapkan agar Rayyan dibawa pulang sekurang-kurangnya seminggu sekali, perkara itu langsung tidak berlaku. Lebih menyedihkan, kanak-kanak itu menunggu hampir sebulan tanpa kehadiran ibunya.

Situasi menjadi lebih rumit apabila ibu Rayyan gagal membuat bayaran seperti dijanjikan
Walaupun begitu, Dayang tetap menerima kanak-kanak itu atas dasar ihsan.
"Saya meminta bayaran minimum RM200 sebagai permulaan, namun dia menyatakan tidak mampu. Atas rasa kasihan, saya menerima Rayyan tanpa sebarang bayaran," katanya.
Sepanjang tempoh tersebut, bayaran yang diterima jauh daripada jumlah sepatutnya. Untuk hampir seminggu penjagaan, hanya RM100 dibayar pada awalnya.
Dayang turut berusaha menghubungi ibu kanak-kanak itu dan menawarkan untuk menghantar Rayyan pulang, namun gagal apabila alamat tidak diberikan.
"Saya turut menawarkan untuk menghantar Rayyan pulang, namun sang ibu gagal memberikan alamat dan terus mengelak," katanya lagi.
Keadaan bertambah pelik apabila seorang lelaki mengaku sebagai ayah angkat menghubunginya dan memohon agar bayaran dikurangkan, sebelum hanya menambah sedikit bayaran tertunggak

Bimbang dengan masa depan Rayyan, Dayang mengambil langkah membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Akhirnya, pada 9 April, satu keputusan besar dibuat.
"Sepanjang dia berada di bawah jagaan saya, saya melihat sendiri keadaan dia yang kurang mendapat perhatian daripada ibu kandungnya.
"Rayyan pula semakin rapat dengan saya dan keluarga, dan mula menganggap saya seperti ibunya sendiri. Dari situ timbul rasa tanggungjawab dalam diri saya untuk memberikan kehidupan yang lebih stabil dan selamat untuk dia," katanya.
Kini, Dayang dalam proses menguruskan dokumentasi rasmi bagi menjadikan Rayyan sebagai anak angkat. Lebih menyentuh hati, kanak-kanak itu kini semakin rapat dengan keluarga tersebut dan menunjukkan kebergantungan kepada Dayang sebagai penjaga.
Dengan sokongan suami serta anak-anaknya, Dayang turut merancang untuk menghantar Rayyan ke tadika serta membantu mengatasi masalah lambat bercakap yang dihadapinya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 